‘Nama Damia Tidak Perlu Tukar’ – Mufti Wilayah Persekutuan


KONTROVERSI nama Damia yang sebelum ini hangat dibincangkan di laman sosial turut mendapat perhatian daripada Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau dalam satu kenyatan memberitahu, nama anak Damiya’ boleh digunakan kerana ianya membawa maksud yang baik, iaitu kebaikan dan keberkatan.

“Kami cenderung kepada pendapat [nama Damia] dibolehkan kerana perkataan asal itu, ada makna keelokan cumanya adanya [huruf Arab] hamzah pada hujungnya,” ujarnya.

Tambahnya, Damia (dengan ejaan داميا) adalah nama sebuah tempat di Jordan yang terletak bersempadan dengan Palestin.

Oleh itu, jelasnya, ejaan nama Damia tidak perlu diubah mahupun menukar nama tersebut sekiranya sekadar disangka mempunyai makna yang tidak baik.

“Biasa sahaja nama orang mengikut nama tempat seperti Jordan, Saudi dan Sarawak. Selagi ia tidak mempunyai maksud yang tidak baik, agama tidak melarangnya,” katanya lagi.

Sementara itu, Zulkifli menjelaskan nama ‘Damiah’ yang sebenarnya dikaitkan dengan darah.

“Damiah (ejaan دامية) pula berkaitan dengan darah, iaitu luka yang berdarah yang tidak mengalir,” katanya dalam laman web rasminya.

Terdahulu, sepucuk surat sokongan pertukaran nama dari Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang yang menyatakan nama ‘Damia’ bermaksud kurang baik, tersebar menjadi viral.

Susulan surat viral itu, netizen menzahirkan kebimbangan sama ada perlu menukar nama berkenaan atau tidak. – MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA