Nak Kaya Cepat Punya Pasal


BATU PAHAT: Lelaki warga emas berputih mata apabila kerugian RM120,000 selepas ditipu dua lelaki gara-gara sekeping cek kemenangan agensi nombor ramalan yang kononnya bernilai ratusan ribu ringgit, Selasa lalu.

Dalam kejadian 11 pagi itu, lelaki berusia 70 tahun itu yang berasal dari bandar ini pada mulanya disapa seorang lelaki dipercayai warga Indonesia selepas selesai berurusan di Bangunan Tabung Haji di Jalan Timah Sari.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, suspek kononnya memenangi hadiah kemenangan berjumlah ratusan ribu ringgit, namun tidak boleh menuntutnya kerana tidak mempunyai dokumen diri yang sah.

Menurut Abdul Wahib, semasa perbincangan itu suspek kedua dipercayai warga tempatan menghampiri mangsa dan cuba menyakinkan mangsa serta suspek pertama sendiri untuk membantu menuntut hadiah.

"Mangsa dan suspek kedua dijanjikan 10 peratus daripada hadiah kemenangan itu. Namun mereka perlulah membayar wang pendahuluan sebagai jaminan.

"Mangsa bersetuju dan mereka bertiga menuju ke sebuah bank untuk mengeluarkan RM120,000 untuk diserahkan kepada suspek. Namun tidak lama kemudian kedua-dua suspek itu hilang sekelip mata ketika mangsa diminta membuat salinan kad pengenalan," katanya.

Abdul Wahib turut mengesahkan kejadian itu tidak membabitkan unsur pukau tetapi kes penipuan melalui percakapan dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.-HM

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA