Najib Utus Ucap Selamat Sempena Hari Solidariti Antarabangsa Palestin



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengutus ucap selamat daripada Malaysia kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan rakyat Palestin sempena Hari Solidariti Antarabangsa bersama Rakyat Palestin.

Najib dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar, berkata selama hampir 70 tahun, usaha antarabangsa untuk mencari penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap isu Palestin masih sebahagiannya tidak berhasil.

"Resolusi demi resolusi yang diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) langsung tidak dipatuhi oleh Israel.

Malangnya, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) dan kuasa-kuasa dunia nampaknya langsung tidak berupaya atau tidak mahu menegur Israel kerana kedegilannya," kata beliau.

Perdana Menteri berkata Israel terus tidak menghiraukan beberapa resolusi yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan PBB dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA).

'Israel terus mencabuli atau tidak mengendahkan hak rakyat Palestin ketika mengamalkan dasar-dasar dan amalan yang tidak berperikamanusiaan yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia serta undang-undang kemanusiaan.

"Yang amat membimbangkan ialah Israel boleh berbuat demikian sewenang-wenangnya dan secara terang-terang mengenepikan pandangan dan sentimen rakyat di seluruh dunia," kata Najib dan menambah provokasi yang berterusan dan keganasan yang meningkat di dan sekitar tapak suci di Baitulmaqdis tidak harus dibiar berterusan.

Najib berkata, selama ini, Malaysia tidak berbelah-bahagi dalam menyatakan sokongannya kepada aspirasi rakyat Palestin dan negara itu telah menyeru semua pihak mengambil tindakan segera ke arah penyelesaian dua negara yang memberi hak fundamental kepada rakyat Palestin untuk menentukan masa depan mereka sendiri dan membentuk sebuah negara.

"Rakyat Malaysia memuji rakyat Palestin atas kekuatan dan kesungguhan mereka dalam perjuangan untuk menubuhkan negara Palestin.

"Rakyat Malaysia akan terus menyokong dan berdiri teguh bersama rakyat Palestin, dan berkongsi harapan mereka ke arah penyelesaian yang komprehensif, adil dan berkekalan terhadap isu Palestin, selaras dengan undang-undang antarabangsa dan pelbagai resolusi UNSC dan UNGA," kata beliau.

Najib juga berharap Hari Solidariti Antarabangsa bersama Rakyat Palestin akan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai semua aspek persoalan Palestin dan menarik sokongan antarabangsa yang lebih luas dan bantuan kepada rakyat Palestin.

"Semoga Allah Subhanahu Wata'ala mengembalikan kepada rakyat Palestin sebuah negara dikenali sebagai Palestin yang bebas lagi demokratik dan hidup sebelah-menyebelah dengan Israel dalam keadaan aman dan tenteram berdasarkan sempadan sebelum 1967," kata beliau.- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA