Najib Tiba Di Tokyo Untuk Lawatan Kerja


TOKYO: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di sini, hari ini untuk lawatan kerja tiga hari di Jepun bagi meningkatkan lagi hubungan ekonomi dua hala.

Beliau dijadual bertemu Perdana Menteri, Shinzo Abe, esok di mana kedua-dua pemimpin akan berunding membabitkan pelbagai isu daripada pembangunan infrastruktur landasan kereta api, isu Laut China Selatan dan kesan ekonomi selepas pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) terhadap Asia dan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Lawatan Najib yang atas jemputan Abe, adalah menjelang kedua-dua pemimpin meneruskan kehadiran mereka ke Sidang Kemuncak APEC di Peru, hujung minggu ini.

Abe terlebih dahulu akan ke New York di mana beliau akan bertemu Presiden AS yang baharu dipilih, Donald Trump.

Antara agenda perbincangan utama antara Abe dan Najib ialah projek kereta api laju menghubungkan Malaysia-Singapura, projek infrastruktur paling terbesar yang menelan belanja antara RM60 bilion hingga RM65 bilion.

Abe amat berminat untuk mempromosikan sistem kereta api laju "bullet" Shinkansen yang teknologinya sudah dibawa ke Taiwan manakala India dalam masa terdekat.

Dalam temubual bertulis dengan akhbar Asahi Shimbun menjelang lawatan ke Jepun, Najib berkata kereta api laju Shinkansen mempunyai 'reputasi antarabangsa yang hebat'.

"Ketika kami dalam melaksanakan perkhidmatan kereta api laju antara Kuala Lumpur dan Singapura, saya pasti Shinkansen akan menjadi antara pesaing dalam tawaran tender awam untuk projek ini," katanya.

Sepanjang lawatannya, kedua-dua pemimpin dijadual menyaksikan perjanjian penyerahan dua kapal peronda Pengawal Pantai Jepun kepada Malaysia.

Kapal peronda itu akan digunakan oleh Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia.

Duta Malaysia ke Jepun, Datuk Ahmad Izlan Idris, berkata MIDA dan Matrade juga akan memeterai dua perjanjian berasingan dengan JETRO Jepun untuk meningkatkan kerjasama.

Najib diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Datuk Seri Shahidan Kassim.

Perdana Menteri juga dijadual menerima kunjungan hormat Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun, Hiroyuki Ishige, dan anggota Persatuan Persahabatan Anggota Parlimen Jepun-Malaysia, untuk bertukar-tukar pandangan mengenai kerjasama dua hala dan isu-isu serantau.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA