Najib Pandang Serius Rusuhan Parlimen



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan semua pihak perlu menghormati institusi Parlimen.

Katanya beliau melihat insiden yang berlaku di Parlimen pada Khamis yang melibatkan seorang Ahli Parlimen pembangkang cuba diserang sekumpulan individu adalah satu perkara yang serius.

"Saya pandang serius kejadian di Parlimen hari ini dan sebarang tindakan berunsur keganasan terhadap ahli Dewan Rakyat.

"Kejadian itu sedang disiasat dan saya yakin @PDRMsia akan lengkapkan siasatan secepat mungkin," kata Najib menerusi catatan di laman rasmi Twitter @NajibRazak malam ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi tadi, Anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad telah cuba diserang oleh sekumpulan 20 individu sebaik beliau tiba di pekarangan Parlimen.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata polis telah mengenal pasti 10 individu yang disyaki terlibat dalam insiden itu dan meminta mereka tampil untuk membantu siasatan. - mStar

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA