Najib Ketuai Delegasi Ke AELM Di Peru




Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Apec ke-24 (AELM) yang akan diadakan dari 19 hingga 20 November di Lima, Peru.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan di sini malam tadi berkata, Najib akan diiringi oleh isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan para pegawai kanan dari Wisma Putra, Miti dan Pejabat Perdana Menteri.

“Perdana Menteri akan menyertai dua sesi pemukiman bertemakan Cabaran kepada Perdagangan Bebas dan Pelaburan dalam konteks Global Masa Kini, Keselamatan Makanan, Adaptasi Perubahan Iklim dan Akses kepada Air; dan Mengintegrasi Asia Pasifik: Ke Arah Kesalinghubungan Nyata dan Kefungsian di Rantau itu.

“Tema pertama akan diperhalusi semasa pemukiman pertama manakala dua tema berikut akan dibincangkan dalam pemukiman kedua,” katanya.

Najib juga dijangka menyertai para pemimpin Apec yang lain bagi dialog tidak formal dengan Perikatan Pasifik dan sesi interaktif dengan Pengarah Urusan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF), Christine Lagarde, serta Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg.

“Perdana Menteri juga dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya dari Australia dan Papua New Guinea bagi membincangkan isu-isu kepentingan bersama,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan tersebut, AELM ke-24 akan dipengerusikan oleh Presiden Peru, Pedro Pablo Kuczynski.

Ia didahului oleh Mesyuarat peringkat Menteri Apec ke-28 yang akan diadakan dari 17 hingga 18 November. Ini kali kedua Peru menjadi hos AELM selepas menjadi tuan rumah pada 2008.

Di bawah tema Pertumbuhan Kualiti dan Pembangunan Insan: Asas bagi Pertumbuhan Mapan di Asia Pasifik, para pemimpin dijangka membincangkan keutamaan memajukan integrasi ekonomi serantau dan pertumbuhan berkualiti serta pembangunan modal insan dan cara-cara untuk mengukuhkan kerjasama bagi memupuk kemakmuran masa depan dan pertumbuhan ekonomi yang mapan bagi Asia Pasifik.

AELM merupakan platform tahunan bagi para pemimpin ekonomi Apec untuk membincangkan, antara lain, kerjasama ekonomi serantau dan integrasi, perdagangan, dan pelaburan di kalangan ekonomi Apec.

Malaysia ialah rakan Apec yang aktif dan akan menjadi hos Sidang Kemuncak Apec bagi kali kedua pada 2020. Malaysia menjadi tuan rumah AELM ke-10 pada November 1998, kata kenyataan itu. – Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA