Najib Adakan Lawatan Kerja Tiga Hari Ke Jepun


PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Jepun mulai Selasa ini bagi membincangkan isu-isu dua hala dalam meningkatkan kerjasama pelbagai bidang.

Lawatan tersebut adalah atas undangan rakan sejawatan Shinzo Abe dan merupakan lawatan kali keempat Najib ke negara Matahari Terbit itu sejak dilantik sebagai perdana menteri pada 2009.

Menurut Wisma Putra lawatan tersebut akan meneruskan momentum perbincangan peringkat tertinggi antara Kuala Lumpur dan Tokyo mengenai isu-isu kepentingan bersama dua hala dan di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Malaysia dan Jepun akan terus menikmati kerjasama erat dalam bidang ekonomi dan perdagangan, pelaburan, sains dan teknologi, pendidikan tinggi, pembangunan modal insan, kebudayaan, perkhidmatan udara dan percukaian,” kata Kementerian Luar itu dalam kenyataan di sini, semalam.

Sempena lawatan itu, Najib dijadual mengadakan mesyuarat dengan Abe dan menerima kunjungan hormat daripada Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Pelancongan Jepun, Keiichi Ishii.

Najib juga dijuga akan menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif, Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO), Hiroyuki Ishige dan Persatuan Persahabatan Parlimen Jepun-Malaysia.

Tahun lepas, Malaysia merupakan rakan dagangan keempat terbesar Jepun di peringkat global dengan jumlah dagangan dua hala mencecah sebanyak AS$32.77 bilion (RM127.4 bilion).

Jepun kekal menjadi pelabur asing terbesar dalam sektor pembuatan di Malaysia dengan lebih 1,400 syarikat Jepun beroperasi di negara ini.

Tahun lepas, sejumlah 60 projek dengan penyertaan Jepun diluluskan dengan pelaburan mencecah AS$0.93 bilion (RM4 bilion) dengan jangkaan 5,201 peluang pekerjaan. — Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA