Nafi Orang Dalam Dalang Kemelut Kertas Sejarah SPM



KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan menafikan penglibatan orang dalam berhubung viral berita kebocoran soalan kertas sejarah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan calon perlu duduki semula pada 8 Disember ini.

“Ini bukan perbuatan orang dalaman, saya percaya mereka yang bekerja dengan kementerian tidak akan membuat perkara sebegini.

“Hasrat penyebar maklumat palsu itu sangat kejam. Penyebar itu telah menyebabkan minda ratusan pelajar terganggu seketika. Dia suka melihat orang lain merana,” kata Kamalanathan kepada pemberita selepas pelancaran Program Patrol Denggi 2016, di sini, hari ini.

Beliau berkata satu laporan polis dibuat oleh wakil Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) hari ini berhubung perkara itu dan percaya penyebar berita itu akan dikenal pasti seterusnya tindakan dapat diambil terhadapnya.

Rabu lalu (9 November) berita kebocoran kertas sejarah SPM menjadi viral di media sosial dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kemudiannya menafikan kebocoran kertas peperiksaan itu pada hari yang sama.

Sementara itu, Program Patrol Denggi 2016 menyaksikan penyertaan daripada 167 sekolah bersaing untuk melaksanakan kempen kesedaran dan pencegahan denggi yang paling kreatif dan berkesan dalam tiga kategori, iaitu melalui penglibatan komuniti, media sosial dan seni pentas di seluruh negara.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Urusan Sanofi Pasteur bagi Malaysia, Singapura dan Brunei Baptiste de Clarens dan Ketua Sektor Penyakit Bawaan Vektor Kementerian Kesihatan Dr Rose Nani Mudin. – BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA