Murung Punca Pasangan Suami Isteri Culik Bayi?


TANAH MERAH: Sepasang suami isteri yang ditahan polis Kelantan kerana menculik bayi berusia lima hari di Hospital Tanah Merah dipercayai berbuat demikian kerana faktor kemurungan.

Menurut sumber, wanita terbabit dikatakan pernah mengalami keguguran pada Jun lalu dan susulan insiden tersebut, suspek sanggup nekad melakukan jenayah berkenaan di sini Isnin lalu.

Dalam kejadian pada pukul 6.30 petang itu, suspek lelaki terbabit yang merupakan seorang mekanik berpura-pura menjadi bapa kepada bayi perempuan tersebut untuk memperdayakan jururawat di dalam wad bersalin.

Ini membolehkan dia menjalani prosedur bagi membawa bayi itu keluar. Beberapa hari sebelum kejadian isteri suspek dilihat pernah berlegar-legar di dalam wad dengan memakai pakaian khas untuk wanita mengandung.

Dia berpura-pura seolah-olah baru sahaja lepas melahirkan anak. Kedua-dua suspek turut memberitahu kepada jururawat bahawa bayi itu merupakan anak mereka.

Lebih dahsyat, pasangan itu malah menamakannya sebagai Nur Amyra Sofea Mohd Ihtisyamuddin dan membayar RM20.50 sebagai caj keluar daripada hospital.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintenden Suzaimi Mohamad berkata, staf wad tersebut hanya menyedari bayi itu diculik selepas bapa sebenarnya, Mohd Ihtisyamuddin Mohd Ashri, 29, tiba di wad itu pada pukul 9 pagi untuk melawat anaknya yang dilahirkan pada Khamis minggu lalu.

Ihtisyamuddin yang merupakan ahli perniagaan, terkejut apabila melihat isterinya, Siti Norbaiti Bahanaharing, 26, menangis sambil memberitahu anak mereka telah hilang.

Polis yang menerima maklumat berhubung kejadian itu pukul 9 malam kemudiannya membentuk pasukan khas untuk memburu suspek.

“Selepas beberapa jam, kami berjaya mengesan kedua-dua suspek bersama bayi itu di Alor Hijau Bukit Tanah, Selising, dekat Pasir Puteh,” kata DSP Suzaimi kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau berkata, seorang anggota polis berpangkat sarjan diarahkan bertemu kedua-dua suspek untuk memujuk mereka agar tampil menyerah diri ke sebuah balai polis.

“Kami juga membawa doktor dan jururawat dari hospital terbabit untuk proses pengecaman bayi tersebut dan mereka mengesahkan bayi itu dilahirkan lima hari lalu,” katanya.

Kedua-dua suspek direman selama empat hari di bawah Seksyen 363 Kod Penal kerana kesalahan menculik.

Dalam pada itu ujar Suzaimi, pihaknya tidak menolak kemungkinan kedua-dua suspek bertindak sedemikian disebabkan kemurungan selepas kehilangan bayi mereka.

“Pemeriksaan dengan pihak hospital mendapati wanita tersebut tidak mempunyai sebarang rekod melahirkan bayi pada hari kejadian sebaliknya pernah keguguran pada bulan Jun lalu.

Melalui proses pengecaman kami mendapati bayi dalam jagaan mereka itu adalah mangsa culik,” katanya. – mStar Online

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA