Murid Hidap Kanser Cemerlang 6A UPSR, Meninggal Dunia


MASIH ingat lagikah anda, kisah viral seorang murid penghidap kanser kelanjar yang mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan memperoleh semua 6A?

Untuk makluman, murid cemerlang berkenaan, Wan Adibah Farhana, telah pun disahkan meninggal dunia, kira-kira jam 4 pagi tadi.

Wan Adibah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan.

Berita sedih itu disahkan oleh bapanya, Wan Mazlan Wan Hassan, 50, yang juga Penolong Kanan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Panglima Raja.

“Sebelum pergi (meninggal dunia) dia tidak menunjukkan apa-apa perubahan… hanya menitiskan air mata kerana menahan kesakitan yang dialami,” katanya kepada BH Online.

Jenazah Allahyarhamah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Besar Pasir Mas pada hari ini.

Minggu lalu, berita kecemerlangan Wan Adibah mendapat liputan meluas media tempatan sebaik sahaja keputusan UPSR diumumkan.

Wan merupakan salah seorang daripada tiga murid yang memperoleh keputusan kesemua 6A di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ibrahim 2.

Murid perempuan itu telah menjalani rawatan di HUSM sejak 4 September lalu selepas mengalami penyusutan berat badan secara mendadak serta hilang selera makan. – MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA