MPKS Perlu Bertindak Pantas Dan Efisyen - Adenan


KOTA SAMARAHAN : Setelah dinaiktaraf kepada Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), usaha lebih keras dan pantas perlu dilakukan bagi memenuhi setiap kehendak masyarakat tempatan.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berkedudukan paling hadapan seharusnya bertindak lebih efisyen agar masalah penduduk dapat diselesaikan secara profesional.

"Kota Samarahan yang kian pesat membangun memiliki pelbagai fasiliti dan populasi penduduk menjangkau 200,000 menuntut perkhidmatan MPKS yang lebih meluas.

"Kerajaan melihat permbangunan pesat ini dan memastikan agar MPKS terus memberi perkhidmatan yang terbaik serta menjadi penyumbang ekonomi negeri mahupun negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Majlis Pengisytiharan Majlis Perbandaran Kota Samarahan di sini pagi ini.

Teks ucapan beliau dibaca oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri James Jemut Masing turut menyentuh Kota Samarahan bergerak pantas dalam aspek pembangunan dan tidak mustahil Kota Samarahan akan menjadi sebuah Bandaraya suatu hari nanti.

"MPKS perlu membuat perancangan yang teratur agar masalah seperti kesesakan lalulintas, lampu jalan, pembersihan kawasan, pungutan sampah, perparitan dan sebagainya dapat dilakukan dengan lebih efektif.

Nasihat saya agar MPKS melakukan tugas dengan penuh dedikasi dan bijak serta mampu menjadikan Kota Samarahan sebuah kota ilmu yang mempunyai pelbagai produk-produk untuk mengembangkan ekonomi," ujarnya.

Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Prof Sim Kui Hian serta dif-dif kehormat.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA