Minyak Masak: Pegawai Penguatkuasa Diarah Pantau Premis Perniagaan



KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengarahkan pegawai-pegawai penguatkuasanya untuk terus memantau premis perniagaan menjual minyak masak bagi memastikan masalah berkaitan bahan itu dapat diatasi.

Ketua Setiausahanya Datuk Seri Jamil Salleh berkata kementerian komited untuk memastikan bekalan minyak masak mencukupi dan dijual mengikut harga sepatutnya.

Jamil berkata jumlah aduan berkaitan minyak masak yang direkodkan semalam di seluruh negara telah menurun kepada 22 berbanding 31 pada hari sebelumnya.

"Antara kategori aduan yang diterima itu adalah berkaitan kekurangan bekalan minyak di kebanyakan premis perniagaan serta harga yang mahal.

"Kementerian akan memastikan peniaga dikenakan tindakan sewajarnya sekiranya didapati menyorok dan menaikkan harga minyak serta didakwa di bawah Akta Pencatutan 2010 dan Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di beberapa pasaraya sekitar Wangsa Maju dan Setiawangsa, di sini pada Sabtu.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan pengguna agar melakukan pembelian dalam kuantiti yang diperlukan sahaja dan tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan minyak masak mencukupi.

Dalam pada itu, Pengurus Pasaraya Hero Wong Seng Oon, 45, berkata bekalan minyak adalah mencukupi namun kekurangan bahan itu berlaku berikutan pembelian panik pengguna.

Seorang suri rumah, Raja Umi Selamah Rahmad, 55, berkata kenaikan harga minyak masak dalam botol memberi kesan dalam perbelanjaan harian keluarganya namun terpaksa meneruskan pembelian kerana ia merupakan keperluan seharian.

"Saya berharap pihak kerajaan akan dapat mengkaji semula harganya pada masa akan datang bagi mengurangkan kos perbelanjaan rakyat," katanya.

Bagi Ahmad Syukri, 51, beliau pernah diminta pengusaha kedai untuk membeli minyak masak dalam kuantiti yang dihadkan berikutan kekurangan bekalan bahan tersebut.

"Saya berharap keadaan ini akan pulih segera dan bekalan minyak masak akan kembali mencukupi seperti sedia kala," tambah pekerja swasta itu.

- Astro Awani

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA