Minyak Masak Di Sarawak Cukup


KUCHING:Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberi jaminan tiada berlaku kekurangan minyak masak di pasar raya di seluruh negeri ini.

Timbalan Menterinya Datuk Henry Sum Agong berkata, malahan bekalan bagi minyak masak paket subsidi 1kg juga mencukupi.

Menurutnya sehingga kini tidak ada aduan kepada kementerian mengenai sebarang kekurangan berkenaan.

“Kita menerima 15 aduan di seluruh negeri termasuk Kuching, Sibu dan Miri namun selepas siasatan, aduan dapat diselesaikan kementerian.

“Aduan-aduan ini kebanyakannya berhubung kekurangan jenama tertentu di pasar raya tetapi juga dapat diselesaikan kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas KPDNKK mengadakan Ops Minyak Masak di pasar raya Everrise BDC di sini, kelmarin.

Namun kata beliau, terdapat sedikit masalah berkaitan bekalan di Limbang dan Lawas memandangkan peniaga mendapat bekalan dari Kota Kinabalu, Sabah dan ia perlu melalui Brunei.

Beliau turut mendedahkan bahawa sehingga kini tiada sebarang laporan mengenai stok bekalan diseludup ke luar.

“Ini kerana Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam memantau aktiviti penyeludupan di sempadan Sarawak dan Kalimantan, Indonesia,” katanya.

Henry berkata semua kenderaan yang melalui CIQ akan diperiksa oleh penguat kuasa berkenaan bagi memastikan tiada penyeludupan ke luar negeri ini.

Tambahnya Sarawak menerima kuota 2,505 tan metrik minyak masak peket sebulan.

“Bekalan stok di pasar raya serta pasar raya mini di negeri ini setakat 11 November 2016 adalah 76,414.5kg.

“Setakat ini tiada laporan dan aduan kekurangan bekalan minyak masak dari segi kuota atau kepada peruncit di Sarawak,” ujarnya.

Turut hadir Pengarah KPDNKK Sarawak Datuk Stanley Tan dan Ketua Penguat Kuasa KPDNKK Sarawak Abdul Hafidz Abdul Rahim.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA