Menteri Jadi Sasaran Maki Hamun Kerana 'Tajuk Berita'


KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Unggah Embas menjadi sasaran maki hamun pengguna Facebook dengan kata kesat hanya kerana tajuk berita sebuah portal atas talian yang menasihatkan agar penganut Kristian menghormati agama lain demi menjaga keharmonian Sarawak.

Sejak semalam pelbagai kecaman serta kata cacian dilontarkan terhadap Douglas berikutan berita yang melaporkan berkenaan kerajaan sentiasa mengambil berat tentang keharmonian penganut pelbagai agama di Sarawak.

Memetik laporan Sarawak Voice, beliau menyarankan agar masyarakat Sarawak perlu menolak anasir luar yang berniat jahat memecah belah perpaduan di Sarawak, selain sentiasa menghormati agama lain bagi memastikan keharmonian kaum terus dipelihara.

Douglas yang juga menteri bertanggungjawab hal ehwal bukan Islam dipetik sebagai berkata, Kerajaan Negeri pimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem komited menyokong pembangunan institusi agama di negeri ini.

Beliau dilaporkan berkata demikian ketika berucap menghadiri sambutan ulang tahun ke-100 Gereja Seventh-Day Adventist (SDA) Sarawak di Stadium Perpaduan Kuching pada Sabtu.

Meskipun kenyataan mahupun nasihat pemimpin tersebut bersifat umum tidak ditujukan terhadap mana-mana pihak secara spesifik, namun segelilintir masyarakat sukar untuk menerimanya dengan lapang dada.

Sebagai pemimpin yang paling disenangi dikalangan media, Douglas merupakan pemimpin kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang berpengalaman pernah berkhidmat sebagai Menteri Persekutuan.

Mungkin ini satu kejutan untuknya, pertama kali bertugas di Sarawak setelah dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar negeri pada Mei lalu. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA