Memohon Keamanan Tanpa Keganasan


JAKARTA: Polis Indonesia semalam mengadakan majlis solat hajat supaya perhimpunan besar-besaran yang dirancang di Jakarta pada hari ini berlangsung dengan aman tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Perhimpunan yang dianjurkan beberapa pertubuhan Islam itu dijangka disertai puluhan ribu peserta bagi mendesak gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama dikenakan tindakan kerana menghina Islam.

Bagi meredakan ketegangan polis menganjurkan majlis solat hajat dan memasang sepanduk di seluruh bandar dengan mesej “Kita semua bersaudara.”

Di sebuah masjid di sini semalam, berpuluh anggota polis yang memakai kopiah putih menyertai majlis solat hajat yang dipimpin seorang ulama terkenal.

“Kami berdoa supaya perhimpunan ini berjalan dengan lancar, mengikut undang-undang dan selamat. Kami berharap tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” kata jurucakap polis, Awi Setiyono.

Menurutnya, polis juga mengerahkan 500 anggota yang memakai kopiah putih dan anggota wanita yang memakai tudung ke perhimpunan itu sebagai perunding.

“Mereka akan mengedarkan air dan manisan bagi menenangkan keadaan.

“Kami akan melaungkan bacaan Asmaul Husna sekiranya ada peserta yang menimbulkan keganasan,” tambahnya yang memberitahu anggota berkenaan tidak membawa senjata atau perisai.

Menjelang perhimpunan berkenaan pihak berkuasa Indonesia mengerahkan ribuan anggota polis dan tentera untuk mengawal keadaan.

Pihak kedutaan beberapa negara termasuk Malaysia juga mengeluarkan kenyataan melarang warga mereka melawat Jakarta pada hari ini.

Basuki atau dikenali sebagai Ahok yang beragama Kristian menimbulkan kemarahan orang Islam selepas mendakwa lawannya menggunakan petikan ayat al-Quran supaya pengundi tidak memilihnya dalam pilihan raya gabenor pada tahun depan.-Agensi

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA