McDonald’s Tidak Pernah Bertoleransi Isu Pekerja Asing



KUALA LUMPUR: McDonald’s menegaskan sama sekali tidak akan bertoleransi terhadap ketidakpatuhan polisi dalam isu pengambilan pekerja asing sama ada melibatkan standard atau keperluan undang-undang dan kawal selia sebaliknya telah mengambil tindak­an tepat menamatkan kontrak dengan Human Connection HR.

Pengarah Urusan Golden Arches Restaurants Sdn. Bhd., Azmir Jaafar berkata, McDonald’s Malaysia akan terus bekerjasama dan memberi bantuan sewajarnya kepada pihak berkuasa dalam menyiasat isu berkenaan seperti dilaporkan akhbar United Kingdom, The Guardian, kelmarin.

Katanya, dalam memelihara kebajikan kakitangan, aduan yang diterima daripada pekerja-pekerja asing telah diketengahkan untuk perhatian pengurus-pengurus restoran pada tahun lalu seterusnya mengambil tindakan segera dengan memaklumkan hal berkenaan kepada pihak Human Connection HR dan perkara tersebut telah diselesaikan.

Walau bagaimanapun, katanya, setelah mendengar isu berbangkit daripada pengurus-pengurus restoran pada awal tahun ini, McDonald’s Malaysia mengambil tindakan yang sama terhadap Human Connection HR untuk menyiasat dan mengenal pasti tentang sejauh mana kebenaran isu tersebut sebagaimana yang dimaklumkan oleh para pekerja terbabit.

“Dalam proses menyelesaikan isu ini dan membantu para pekerja asing, kami turut mencadangkan kepada Human Connection HR agar McDonald’s Malaysia memikul tanggungjawab dalam urusan pembayaran gaji pekerja asing secara terus. Tetapi, kami tidak mendapat sebarang respon daripada pihak berkenaan.

“Setelah beberapa kali gagal menyelesaikan isu ini dengan Human Connection HR, McDonald’s telah mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak dengan syarikat tersebut beberapa bulan lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

The Guardian melaporkan nasib pekerja asing dalam industri elektronik membabitkan Samsung dan Panasonic sebagai syarikat yang tidak mengambil serius dalam menangani masalah pekerja asing dan turut mendapatkan maklum balas daripada McDonald’s berkaitan isu tersebut.

The Guardian mewawancara 15 pekerja asing dari Nepal yang mendakwa pendapatan dibayar rendah daripada sepatutnya, gaji bulanan ditipu dan pasport dirampas. Malah, gaji mereka tidak dibayar tepat pada masanya dan menyukarkan perbelanjaan bulanan atau mengirim wang ke kampung.

McDonald’s bagaimanapun telah memberi respons kepada akhbar tersebut tetapi artikel yang diterbitkan gagal mencerminkan secara kukuh kedudukan McDo­nald’s dalam menangani isu tersebut khususnya pendirian proaktif membantu para pekerja asing termasuklah tindakan segera yang telah diambil dengan menamatkan kontrak bersama syarikat Human Connection HR.

Menurut Azmir, polisi yang ditetapkan syarikat memerlukan proses tapisan terhadap semua pembekal untuk memastikan mereka komited dan menepati standard antarabangsa serta keperluan undang-undang dan kawal selia sebelum bekerjasama.

“Setelah persetujuan dicapai, mereka tertakluk kepada kontrak yang telah ditetapkan, sebahagiannya termasuklah tanggungjawab dalam menjaga hak pekerja dan prosedur audit,” katanya.

Jelasnya, selain usaha ke arah menyelesaikan hal berkenaan dengan Human Connection HR, pada masa sama syarikat turut menguatkuasakan arahan kepada semua restoran untuk mendermakan makanan dan barangan keperluan seperti beras, minyak masak dan makanan dalam tin kepada pekerja-pekerja asing terbabit.

“Walaupun pekerja-pekerja asing ini diambil secara terus oleh Human Connection HR dan subkontrak kepada McDonald’s Malaysia, kami sentiasa mengekalkan dan memberi laya­nan sama rata kepada semua pekerja asing di McDonald’s selagi ia melibatkan hal ehwal kebajikan dan hak mereka,” katanya. - Utusan Malaysia

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA