Mayat Reput Ditemui Dengan Kesan Ikatan & Tembakan Di Dahi


KECOH apabila gambar penemuan mayat yang ditemui dengan kesan ikatan di leher dan tembakan di dahi dimuat naik di laman sosial hari ini.

Menerusi akaun Facebook Koo Tan Bo, individu ini memuat naik dua keping gambar mayat seorang lelaki di tebing sungai dalam keadaan mengerikan dipercayai di pekan lama Sungai Petani, Kedah.

Mayat lelaki yang memakai seluar pendek berwarna biru ditemui dalam keadaan muka yang membengkak dan bahagian kiri badan yang semakin mereput.

Pelbagai reaksi yang diberikan netizen dan ada yang menganggap ianya adalah kes bunuh berdasarkan keadaan mayat yang berlumuran darah di bahagian muka.

Dalam ruangan komen, netizen turut berkongsi gambar beberapa kenderaan anggota polis dan orang ramai memenuhi tempat kejadian.

Netizen turut membuat andaian mayat itu merupakan mangsa pembunuhan berikutan penemuan kesan tembakan di bahagian dahi.

“Kes bunuh nie, tengok macam bertali di tengkuk dan dahi si mati berlubang, kemungkinan di tembak boleh jadi,” tulis Aamir Salman.

Bagaimanapun, media tempatan melaporkan, mayat lelaki tersebut ditemui kira-kira jam 11.30 pagi tadi oleh orang ramai selepas terkejut dengan kehadiran sekumpulan biawak mengerumuni satu objek di tebing sungai belakang sebuah kuil di Taman Bersatu.

Difahamkan, berdasarkan keadaan mayat yang sudah mereput, mangsa dipercayai meninggal dunia empat hari lalu.

Pemeriksaan pada badan mayat mangsa mendapati terdapat serpihan simen yang diikat menggunakan tali wayar di leher dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui.

Mayat mangsa dihantar ke hospital bagi mengenal pasti identiti dan untuk tujuan bedah siasat. – MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA