Masjid Di AS Terima Surat Ugutan


CALIFORNIA: Tiga masjid di California menerima surat menggelar penduduk Islam sebagai "keji dan kotor", memuji presiden dilantik, Donald Trump dan berkata beliau bercadang "membersihkan" negara itu.

Menurut Majlis Perhubungan Amerika-Islam (CAIR), surat ringkas anti-Islam yang dialamatkan kepada "Anak Syaitan" itu dihantar ke beberapa masjid di San Jose di utara California dan Long Beach dan Claremont di daerah Los Angeles. Surat itu menyifatkan umat Islam sebagai "manusia keji dan kotor", dan mendesak mereka keluar dari situ.

"Trump akan membersihkan Amerika dan menjadikan ia bersinar semula dan beliau akan bermula dengan kamu, penduduk Islam," menurut surat itu. Surat itu mendorong cabang CAIR di California mendesak polis meningkatkan kawalan di masjid.

"Kempen benci yang menyasarkan masjid di California perlu disiasat sebagai tindakan ugutan agama dan pemimpin perlu bersuara membantah peningkatan sentimen anti-Islam yang membawa kepada kejadian seumpama itu," kata pemimpin CAIR cabang Los Angeles, Hussam Ayloush.

Sejak Trump, yang menyelar umat Islam dan pendatang ketika berkempen, terpilih pada 8 November lalu, lebih 100 kejadian anti-Islam berlaku di seluruh negara, kata CAIR. - Agensi

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA