Masih Hidup Walaupun Leher Ditusuk Besi Pagar


BANGKOK: Seorang murid sekolah bernasib baik walaupun lehernya tertusuk besi tajam sepanjang lebih 20 sentimeter selepas dia cuba memanjat pagar untuk menemui rakannya.

Tharathep Wanacharoenlap, 11, memanjat pagar besi itu tetapi tergelincir selepas berada di atas kerana pagar berkenaan licin selepas hujan sebelum itu.

Satu daripada besi berkenaan tertusuk lehernya tetapi dia bernasib baik kerana ia tidak mengena saluran darahnya.

Tharathep bertindak bijak apabila tidak menggerakkan dirinya selama kira-kira 10 minit sebelum orang ramai datang membantu dan menelefon ambulans.

Pekerja penyelamat membawanya turun selepas memotong besi berkenaan. Dia dibawa ke hospital dengan besi itu masih tertusuk dilehernya.

Jurugambar, Natarit Noonpradate yang merakam kejadian di Chachoengsao itu berkata: “Tharathep memanjat pagar itu setiap hari untuk menemui rakannya. Rakannya terlalu malas untuk membuka pintu pagar yang terletak kira-kira 800 meter dari rumahnya.”

“Kebetulan hari itu hujan dan pagar berkenaan licin.

“Itu yang menyebabkan Tharathep jatuh dan lehernya tertusuk pada besi pagar itu.”

Murid berkenaan dilapor semakin pulih di hospital selepas besi berkenaan dicabut dari lehernya. Dia dijangka dibenarkan pulang beberapa hari lagi.

- Agensi

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA