Masih Ada Premis Kekalkan Harga Minyak Masak

TIADA STOK: Rak bagi minyak masak berpeket 1kg kini telah kosong kerana didakwa tiada stok sejak minggu lepas.
KUCHING: Walaupun kenaikan harga minyak masak mulai berkuat kuasa semalam, namun masih ada sebahagian premis khasnya pasar raya di bandar raya ini masih mengekalkan harga lama mereka.

Malahan tinjauan ke pasar raya berkaitan mendapati bekalan minyak masak masih ada dan mencukupi bagi minyak masak tidak bersubsidi berbanding yang bersubsidi didakwa sudah tidak ada stok sejak seminggu lepas.

Minyak bersubsidi atau berpeket yang kini dijual pada harga RM2.50 per kilogram, adalah khas kepada golongan sasar iaitu berpendapatan rendah terutama di luar bandar.

Bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak, pemantauan akan diteruskan bagi memastikan minyak masak mencukupi di pasaran dan minyak masak bersubsidi mengikut harga ditetapkan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Sarawak Abdul Hafidz Abdul Rahim berkata bagi minyak masak bersubsidi sehingga kini tiada masalah dilaporkan terutama di luar bandar, yang masih ada bekalan.

“Minyak bersubsidi ini adalah terhad dan ia khasnya kepada golongan berpendapatan rendah di luar bandar atau golongan sasar kita. Kita menunggu peruntukan subsidi kepada Sarawak.

“Dengan ini kita amat berharap kerjasama daripada semua pihak terutama yang berkemampuan untuk tidak menggunakan kesempatan ini dengan memberi peluang kepada mereka berpendapatan rendah menikmati subsidi,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo di sini semalam.

Beliau yang juga timbalan pengarah KPDNKK Sarawak menjelaskan, kecuali bekalan bagi minyak masak bersubsidi tidak mencukupi, orang ramai mempunyai alternatif dengan membeli minyak masak tidak bersubsidi.

Abdul Hafidz menegaskan, bagi harga minyak masak yang diviralkan dalam media sosial, ia adalah bukan daripada kerajaan atau kementerian dan menasihati orang ramai agar tidak panik.

Sementara itu tinjauan di sebuah pasar raya di bandar raya ini mendapati harga minyak masak tidak bersubsidi masih berada pada harga sebelum ini.

Namun kata jurucakapnya yang hanya dikenali sebagai Saptuyah, stok minyak masak berpeket 1kg yang ada di pasar raya itu adalah stok terakhir.

“Kami telah membuat tempahan untuk minyak masak 1kg tetapi masih tidak tahu bila stok berkenaan akan sampai.

“Setakat apa yang saya lihat hari ini (semalam) harga minyak masak masih dijual pada harga lama, belum ada harga baharu,” katanya.

Bagaimanapun bagi minyak masak bukan bersubsidi di pasar raya itu yang berjenama seperti Seri Murni, Saji dan Buruh untuk botol bersaiz 5kg kelihatan habis dijual.

Sementara sebuah lagi pasar raya mendapati rak untuk minyak masak bersubsidi telah kosong dan didakwa telah tiada stok sejak minggu lepas namun bagi yang tidak bersubsidi bekalan masih ada dengan mengekalkan harga lama.

Menurut seorang jurujualnya, pasar raya itu sudah seminggu tidak mempunyai stok minyak masak berpeket sementara yang lain masih ada bekalan dan dijangka akan naik harga pada masa akan datang.

Selepas kenaikan harga minyak masak yang berkuat kuasa semalam, minyak masak tidak bersubsidi 1kg kini berharga RM3.70, 2kg (RM7.40), 3kg (RM11.10) dan 5KG (RM18.50) sementara minyak masak bersubsidi paket 1kg masih kekal RM2.50. - BP

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA