Masalah perumahan, lot tanah DUN Nangka fokus utama Dr Annuar

AMBIL BERAT: Dr Annuar ketika ditemui pemberita di Ekspo Pemilikan Rumah dan Lot Tanah DUN N.55 Nangka yang dianjurkan di Dewan Kelab Melayu Kampung Nyabor, semalam.
SIBU: Masalah perumahan dan pemilikan lot tanah menjadi fokus utama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee dalam tempoh lima tahun ini.

Beliau berkata, ia termasuk masalah perumahan yang melibatkan Kampung Datu dan Kampung Hilir serta masalah pemilikan lot di Kemuyang.

“Selain itu, saya juga komited dalam pembangunan Bandar Baharu Nangka dan juga usaha menggantikan kampung untuk dibangunkan menjadi bandar.

“Dalam tempoh lima tahun ini saya akan memastikan proses penyelesaian akan dapat dimulakan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ekspo Pemilikan Rumah dan Lot Tanah DUN N.55 Nangka yang dianjurkan di Dewan Kelab Melayu Kampung Nyabor, semalam.

Dr Annuar yang juga Menteri Muda Penyelidikan Sains dan Bioteknologi menjelaskan bahawa kerja-kerja pembinaan infrastruktur di Bandar Baharu Nangka akan bermula pada tahun depan.

Beliau berkata bandar baharu tersebut dibina di Batu 11, Jalan Oya dengan keluasan lebih 300 ekar dilengkapi dengan pembangunan seperti pusat komersial, sekolah, klinik dan dewan masyarakat sejajar dengan status bandar satelit.

“Keluasan bandar baharu ini juga dapat menampung pembinaan kira-kira lebih 1,000 buah rumah,” tambahnya.

Selain itu, beliau juga berkata, beliau akan berusaha membuat permohonan menambah 300 ekar lagi tanah untuk menggantikan kampung yang telah dibangunkan di Sibu.

Justeru, Dr Annuar berharap usaha-usaha beliau ini dapat menyelesaikan isu perumahan dan pemilikan lot tanah masyarakat.

Menyentuh mengenai ekspo yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat DUN N.55 Nangka itu, beliau berkata program tersebut amat bersesuaian dengan isu yang melanda masyarakat pada masa kini.

Katanya kehadiran hampir 2,000 orang menyertai ekspo tersebut jelas menunjukkan isu tersebut amat besar dan perlu ditangani khasnya menyediakan lebih banyak tempat untuk pembangunan perumahan.

“Selepas ini kita akan mengadakan perbincangan bersama agensi yang terlibat dalam usaha membuat perancangan dalam menyelesaikan masalah perumahan dengan meneliti data yang diperolehi daripada orang ramai yang hadir.

“Saya amat fokus untuk memulakan langkah berkaitan dalam tempoh lima tahun ini,” jelasnya.- UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA