Malaysiakini, Majlis Peguam Akui Terima Dana Soros

Malaysian-Bar
AKHIRNYA pentadbir laman portal propembangkang Malaysiakini mengakui ada menerima dana daripada penyangak mata wang, George Soros yang didakwa cuba meruntuhkan kerajaan Malaysia.

Perkara tersebut disahkan Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Jamal Yunos ketika mengetuai kumpulan Baju Merah mengadakan perhimpunan aman di pejabat Malaysiakini di Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.

Beliau kemudian bertemu sendiri pihak pengurusan portal tersebut dengan disambut Ketua Pengarang Kumpulan Malaysiakini, Steven Gan; Ketua Pengarang, RK Anand dan Pengarang Bahasa Malaysia, Jimadie Shah Othman.

“Alhamdulillah, kami telah mendapatkan penjelasan, disaksikan pihak media, (mereka) mengaku ada pernah terima sumbangan tersebut, (mereka) kata telah memberikan penjelasan menerusi laman web tersebut sendiri.

“Itu yang kita hendak dengar, bukan berapa banyak duit yang (mereka) dapat, tetapi sejauh mana hubungan dengan pihak penyangak (Soros),” kata Jamal semasa ditemui media selepas pertemuan itu berakhir pukul 3.30 petang.

Terdahulu, Jamal dengan kira-kira 100 penyokong berkumpul untuk menyatakan bantahan terhadap Malaysiakini ekoran pendedahan ada menerima dana antarabangsa daripada Open Society Foundation (OSF) diasaskan Soros.

Sebelum pertemuan itu, Jamal mengugut ‘meruntuhkan’ bangunan Malaysiakini ekoran protes terhadap portal berkenaan pernah menerima bantuan kewangan OSF dimiliki Soros yang juga hartawan terkemuka Yahudi.

“Kita tidak mahu melihat sistem keamanan yang kita kecapi sekian lama ini akhirnya terkubur kerana media-media tertentu memberikan liputan yang berat sebelah, fitnah dan tidak betul. Kami beri masa sehingga 5 November.

“Kalau tidak, NGO seluruh negara akan buat bantahan secara besar-besaran dan sekurang-kurangnya 20,000 orang sedia turun. Malah kami akan memastikan sebahagian bangunan portal ini pun akan runtuh,” katanya.

Sementara itu, Jimadie menjelaskan wang diterima daripada OSF konon hanyalah sebahagian kecil, dan portal itu tidak bergantung sepenuhnya kepada dana berkenaan sebaliknya kebanyakan datang daripada sumber iklan.

“Untuk berita bahasa Inggeris, langganan daripada pembaca itulah sumber pendapatan kami. Kami tidak nafi, memang ada KiniTv terima dana tetapi dalam jumlah sedikit dan dana itu juga untuk berita berkaitan Sarawak.

Dalam pada itu, jawatankuasa kecil bawah Majlis Peguam Malaysia turut mengaku menerima bantuan kewangan daripada Soros melalui OSF tetapi mendakwa ia bagi menjalankan penyelidikan mengenai pekerja asing di Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Migran, Pelarian dan Imigresen majlis tersebut, Datuk M. Ramachelvam berkata, mereka memang ada menerima AS$15,000 (RM53,757.13) tahun lepas bagi membiayai projek yang sedang berlangsung.

“Saya mesti menjelaskan wang itu tidak digunakan untuk biayai kos operasi dan pentadbiran Majlis Peguam atau jawatankuasa,” katanya kepada portal FMT susulan pendedahan oleh laman antarabangsa terkenal DC Leaks.

Ramachelvam berkata, wang itu digunakan membayar penyelidik, jurutranskrip, pengulas, rundingan dengan pihak berkepentingan dan perbelanjaan luar jangka terhadap kajian pekerja asing dan amalan buruh baik di Malaysia.

Beliau berkata pada masa lalu jawatankuasa itu mendapat bantuan kewangan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan bekerjasama rapat dengan organisasi global seperti Suruhanjaya Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Pada 1 November lalu, Jaringan Melayu Malaysia (JMM) membuat laporan polis serta menyerahkan dokumen ‘rahsia’ 24 halaman mengaitkan Malaysiakini dan kumpulan haram Bersih menerima dana rahsia daripada OSF.

Maklumat itu didakwa menunjukkan penglibatan seorang ahli perniagaan tempatan dan Soros membiayai Bersih melalui OSF, dengan niat jahat untuk misi khas menggulingkan kerajaan Malaysia. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA