MalaysiaBiz Mudahkan PKS Didaftar Dan Dilesenkan


KUCHING: Individu yang merancang untuk membuka perniagaan tidak perlu lagi melayari pelbagai laman web kerana Portal MalaysiaBiz memberi pelbagai maklumat pelesenan perniagaan secara 'horizontal' merentasi pelbagai Pihak Berkuasa Melesen (PBM) melibatkan 1,174 aktiviti perniagaan.

Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Dato' Sri Zainal Rahim Seman berkata, portal tersebut yang berada diperingkat akhir mendapat sambutan amat menggalakkan daripada pelayar dengan kadar 85 peratus.

Malah menurutnya, dijangkakan portal yang diilhamkan sejak 2015 itu siap sepenuhnya penghujung tahun ini sementara menunggu maklumat aktviti perniagaan di Sabah dan Sarawak.

"Portal ini akan menjadi akses satu pintu kepada usahawan yang terlibat dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selain membolehkan individu yang hendak membuka perniagaan untuk mendapat maklumat mengenai pelbagai aktiviti perniagaan, pendaftaran perniagaan dan permohonan lesen," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sijil Pelantikan Rakan Informasi Lesen, Program Kolaboratif Integriti dan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) di sini, hari ini.

Lebih menarik lagi menurut Zainal, dengan adanya portal tersebut, seseorang individu boleh mengetahui prospek perniagaan di lokasi lain.

"Jika mahu berniaga di lokasi lain, mereka tidak pergi ke lokasi tersebut kerana hanya perlu melayari portal ini ada menyediakan maklumat termasuk pendaftaran dan pelesenan," ujarnya.

Mengulas mengenai EKSA, beliau berkata, EKSA adalah penjenamaan kepada 5S selaras dengan usaha untuk mengukuhkan budaya organisasi berpretasi tinggi dan inovatif di agensi sektor awam melalui penyediaan persekitaran yang kondusif.

"MAMPU telah menganugerahkan Sijil EKSA kepada 55 buah agensi di Sarawak," jelasnya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA