Malaysia Sentiasa Siap Siaga Hadapi Ancaman Tsunami - Madius


KOTA KINABALU: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata Malaysia sentiasa bersiap siaga menghadapi bencana alam tsunami.

Beliau berkata Malaysia memiliki teknologi dan kepakaran untuk mengesan ancaman tsunami lebih awal bagi membolehkan amaran segera dikeluarkan kepada masyarakat.

"Dari segi teknologinya kita memang bersedia, kita akan tahu, kita boleh mengesan, bukan sahaja secara langsung di sini tetapi di seluruh negara. Kita boleh kesan secara 'real time' (tepat masa)," katanya.

Madius berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian hadiah pertandingan melukis 'The Art Of Nation Building 2016' di sini hari ini. Sebanyak 8,283 penyertaan pada pertandingan itu diterima dari sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

Bagaimanapun, katanya apa yang penting adalah perlu wujud kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kemungkinan berlakunya tsunami serta pengetahuan mengenai pelbagai mekanisme yang diambil kerajaan untuk mengendalikan bencana itu.

Beliau berkata kementerian telah dan sedang melaksanakan pelbagai program kesedaran mengenai bencana tsunami di pelbagai lokasi di Sabah seperti simulasi menghadapi bencana itu.

Menurutnya program pendidikan seperti itu perlu dilaksanakan agar masyarakat faham mengenai bencana itu dan apa yang perlu mereka lakukan sekiranya kejadian seperti itu berlaku.

"Di tempat tertentu pernah kita adakan pendidikan tentang tsunami, apabila kita bunyikan siren, bukan pula masyarakat di sana bersedia ke tempat yang selamat tetapi mereka pergi mencari di mana siren ini," katanya.

Mengenai kenyataan seorang pegawai kanan kementeriannya mengenai ancaman tsunami ke atas Sabah, Madius berkata ia masih dalam senario andaian.

"Walaupun kenyataan pegawai berkenaan berasaskan sains namun disebabkan senarionya sebagai andaian maka tsunami itu boleh berlaku dan boleh tidak berlaku". --BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA