Malaysia Kuasai Badminton Dunia


MALAYSIA kini menguasai gelanggang badminton apabila beregu lelaki negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong mengikut jejak langkah Datuk Lee Chong Wei untuk bergelar jaguh No. 1 dunia.

Kedudukan ranking terbaharu itu dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam yang menunjukkan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu mengumpul 71,297 mata.

Gandingan Chai Biao dan Hong Wei dari China menduduki tempat kedua dengan 70,220 mata manakala beregu Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen di tempat ketiga (67,534).

“Saya gembira dengan gelaran itu (No. 1 dunia) dan berharap kami dapat kekalkan status tersebut. Kini saya mahu fokus kepada kejohanan dan bermain seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

V Shem dan Wee Kiong yang masih segar dengan kejayaan menjuarai Terbuka Denmark bulan lepas, merampas status No. 1 dunia daripada beregu Korea Selatan, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong.

Menurut laman web http://www.bwfbadminton.org, Chong Wei masih kekal di kedudukan pertama dunia dengan 93,503 mata, manakala beregu campuran negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying di tangga keempat (67,060). - kosmo

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA