Malaysia Jalin Hubungan Seimbang Dengan China Dan Amerika - Zahid


SINGAPURA: Malaysia menjalin hubungan yang seimbang dengan China dan Amerika Syarikat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Kami amat seimbang bukan setakat hubungan diplomatik. GTG (kerajaan-dengan-kerajaan), kerjasama kami sangat rapat dengan Amerika Syarikat. Juga P2P (rakyat-dengan-rakyat) selain B2B (perniagaan-dengan-perniagaan)," kata beliau kepada media di akhir Dialog Memerangi Keganasan Asia-Eropah di sini hari ini.

Ahmad Zahid menegaskan malah beliau sendiri mengunjungi Washington dua kali setakat ini.

"Saya berpendapat untuk menyifatkan sesuatu hubungan sebagai dingin atau mesra itu amat subjektif bagi sesiapa pun. Kami ingin mengadakan hubungan yang seimbang dengan kedua-dua negara (China dan Amerika Syarikat)," katanya.

Ahmad Zahid menjawab soalan bahawa Malaysia ketika ini dilihat seperti mengadakan hubungan lebih 'mesra' dengan China berbanding Amerika Syarikat.

Timbalan perdana menteri tiba di sini pagi ini untuk menghadiri Dialog Memerangi Keganasan Asia-Eropah.

"Kami mewujudkan hubungan dengan China pada 1974. Hubungan dua negara ini amatlah mesra, lebih-lebih lagi kepada perdana menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak). Setakat ini beliau telah tiga kali mengunjungi China.

"Ia untuk menzahirkan komitmen kami dalam menyelesaikan isu ekonomi di rantau ini selain mempelawa China melabur dalam projek HSR Malaysia (Keretapi Berkelajuan Tinggi," katanya.

Najib kini melakukan lawatan rasmi enam hari ke China, bukan sahaja untuk memperkukuhkan kerjasama dua hala, tetapi juga kerjasama dalam isu serantau dan antarabangsa.

Lawatan rasmi pertama Najib ke China adalah pada 2009 dan kedua pada 2014 bersempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia dan China.

Lawatan perdana menteri ke China sebelum ini adalah lawatan kerja pada Mac tahun lepas untuk menghadiri Forum Boao bagi Asia di Hainan.

Menjawab soalan tentang peluang China untuk memenangi tender HSR, Ahmad Zahid berkata: "Ia berdasarkan tender antarabangsa."

Pada Julai lepas, Malaysia dan Singapura memeterai Memorandum Persefahaman berkaitan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura.

Projek itu setakat ini menarik perhatian pelabur dari negara seperti China, Jepun, Perancis, Sepanyol dan Jerman.

Cadangan projek Keretapi Berkelajuan Tinggi yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura itu akan meliputi jarak 350 kilometer. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA