Malaysia-Filipina Berganding Bahu Pelihara Keamanan, Keselamatan - Najib

 

PUTRAJAYA: Malaysia dan Filipina saling berganding bahu dalam menangani perkara berkaitan keamanan dan keselamatan, dengan kedua-dua negara mengakui keperluan untuk memastikan kestabilan di dalam dan luar negara.

Semasa menyatakan pendirian itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Filipina bukan sahaja jiran Malaysia malah rakannya dalam memperkukuhkan hubungan kedua-dua negara sejak kebelakangan ini.

"Walaupun hubungan ini, seperti yang lain, ada masanya menghadapi tekanan, kepentingan bersama kami jauh mengatasi sebarang bentuk perselisihan," kata Najib dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat dua hala dengan Presiden Filipina Rodrigo Duterte di sini, hari ini.

Duterte dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula semalam.

Najib berkata buat pertama kalinya, beliau menjadi hos Presiden Duterte di Malaysia bagi membincangkan pelbagai isu merangkumi hubungan dua hala di antara Malaysia dan Filipina dan Perjanjian Damai Mindanao di selatan Filipina.

Dalam kenyataan itu, Najib mengumumkan mengenai pemeteraian Pertukaran Nota di antara kerajaan Malaysia dan Filipina bagi mewujudkan Rangka Kerja Kerjasama dalam menangani isu penculikan bagi mendapatkan wang tebusan serta isu-isu keselamatan lain sepanjang sempadan perairan kedua-dua negara.

Perdana menteri berkata mereka juga membincangkan tentang perkembangan yang berlaku sejak pelancaran Fasa Pelaksanaan Perjanjian Damai Mindanao di antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), dengan Malaysia menjadi tuan rumah majlis itu pada Ogos tahun ini.

"Saya menyambut baik Perintah Eksekutif yang ditandatangani Presiden Duterte bagi membolehkan penyusunan semula Suruhanjaya Peralihan Bangsamoro. Ini seterusnya akan membawa kepada penggubalan undang-undang yang akhirnya membolehkan pembentukan Kerajaan Bangsamoro,"kata beliau.

Najib berkata ia merupakan satu lagi peristiwa penting dan manifestasi komitmen utuh Presiden Duterte bagi proses damai Bangsamoro, yang bermula sejak 15 tahun lepas.

"Presiden Duterte menghargai sokongan kukuh Malaysia kepada proses ini dan saya yakin, dengan pelan tindakan beliau yang jelas untuk keamanan, isu-isu yang berlanjutan sejak sekian lama dapat diselesaikan," kata beliau.

Najib berkata Presiden Duterte boleh menjadikan Malaysia sebagai rakan setia dalam usahanya mencapai keamanan di selatan Filipina.

"Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan beliau dan rakyat Filipina bagi mengukuhkan lagi hubungan erat yang dijalinkan kedua-dua negara," kata beliau.

Di persada antarabangsa, Najib berkata Malaysia dan Filipina turut berkongsi semangat sama termasuk sebagai sebuah Abad Asia, di mana kedua-dua negara boleh memainkan peranan yang semakin penting dalam ekonomi global.

Filipina adalah rakan dagang kelima terbesar Malaysia dalam ASEAN dan yang ke-10 terbesar di peringkat dunia.

"Kami berasa gembira untuk menjadi tuan rumah kepada beratus ribu rakyat Filipina yang memberi sumbangan bermakna dan amat dihargai kepada masyarakat kami,"kata perdana menteri.- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA