Malaysia, China Bina Abad Asia


BEIJING: Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak komuniti perniagaan dan tokoh-tokoh korporat China bersama-sama Malaysia bukan sahaja untuk mengukuhkan kerjasama ke tahap yang lebih tinggi tetapi membina apa yang dipanggil Abad Asia, dengan China sebagai terasnya.

Menurut Perdana Menteri, beliau yakin peluang untuk menjadikan Abad Asia sebagai suatu realiti dapat dicapai melalui hubungan Malaysia dan China yang lebih akrab.

Berucap pada jamuan makan tengah hari Forum Bisnes Malaysia-China di sini hari ini yang diadakan sempena lawatan rasmi beliau ke China, Najib yakin de­ngan pusat graviti ekonomi dunia bergerak lebih ke timur ke Asia Pasifik, “kita mempunyai segala sebab untuk bersikap optimistik”.

Najib memberitahu 500 ahli perniagaan yang menghadiri majlis itu bahawa syarikat-syarikat Malaysia dan China berupaya mengumpil potensi besar ma­sing-masing melalui koloborasi dan usaha pembangunan bersama.

Najib dan Perdana Menteri China, Li Keqiang hari ini menyaksikan 14 koloborasi seumpama itu yang dimeterai melalui majlis menandatangani perjanjian persefahaman bagi kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan, pembangunan taman teknologi dan pembekalan barangan dan perkhidmatan.

Di peringkat bisnes swasta pula, sebanyak 14 lagi perjanjian persefahaman turut ditandata­ngani.

Menurut beliau, salah satu daripada perjanjian persefahaman yang ditandatangani adalah sebuah program yang menjadi kemegahan di Malaysia iaitu Landasan Kereta Api Pantai Timur atau East Coast Rail Line (ECRL) sejauh 700 kilometer bernilai RM55 bilion. Landasan kereta api itu menghubungkan Lembah Klang dari Pelabuhan Klang ke Pantai Timur yang berakhir Tumpat, Kelantan, menyambungkan lapan buah bandar.

Perdana Menteri percaya syarikat-syarikat yang terlibat dalam pelbagai perjanjian persefahaman antara kedua-dua negara akan menjadi rakan kongsi sehingga dekad-dekad akan datang, dan ia menunjukkan keyakinan yang dimiliki syarikat-syarikat Malaysia dan China.

“Mari kita tengok dalam dewan ini pada petang ini: kita mempunyai 173 syarikat China, hampir 100 syarikat Malaysia, dengan nilai permodalan pasaran yang digabungkan lebih daripada AS$1.08 trilion (RM4.5 trilion),” ujar beliau dalam forum itu yang bertemakan ‘Mengukuhkan Kerjasama, Membina Peluang’.

Sambil menegaskan bahawa China merupakan rakan dagang­an terbesar Malaysia sejak tahun 2009, Najib memberitahu, Malaysia pula kini adalah rakan dagangan kelapan terbesar China di seluruh dunia.

Ketika kelembapan ekonomi global yang dirasai sekarang, katanya, angka keseluruhan dagang­an China dengan Malaysia telah meningkat dua peratus dalam enam bulan pertama 2016 berbanding tahun lalu.

Penglibatan China di Malaysia, katanya, bukan setakat sebagai rakan dagangan tetapi juga melalui pelaburan yang sehingga akhir tahun lalu bernilai AS$2 bilion (RM8.4 bilion) iaitu satu angka yang akan terus meningkat.

“Kami mengalu-alukan pelaburan di semua peringkat, tetapi kelihatan jelas bahawa China terlibat dalam menyokong projek-projek pengemudi yang akan memainkan peranan besar dalam mentransformasi Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi dan selanjutnya,” kata Najib.

Beliau berkata, salah satu contoh ialah Powerchina International Group, yang baru-baru ini menandatangani memorandum perjanjian dengan sebuah syarikat Malaysia, KAJ Development One, untuk pembinaan Melaka Gateway, sebuah projek mega di negeri Melaka.

Perdana Menteri menyenaraikan kehadiran syarikat-syarikat gergasi China di Malaysia seperti China National Machinery Import and Export Corporation, Alliance Steel, Sinohydro Corporation Ltd dan Comtech Solar International.

Dengan kira-kira 1,500 syarikat Malaysia bertapak di rantau ASEAN, bank-bank Malaysia seperti Maybank, CIMB, RHB dan Public Bank, dan syarikat telekomunikasi termasuk DiGi, Maxis, TM dan YTL serta syarikat penerbangan AirAsia, Malindo dan Malaysia Airlines menawarkan peluang kepada syarikat-syarikat China.

“Malaysia menawarkan ketersambungan yang sukar ditan­dingi dan kedudukan baik sebagai rakan strategik bisnes di rantau ini. Kami mempunyai asas yang kuat dalam sektor perkilangan, tenaga kerja pelbagai etnik yang boleh berkomunikasi dengan efektif dengan pasaran-pasaran jauh dan dekat,” katanya.

- Utusan Malaysia

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA