Malaysia Bina Loji Nuklear Selepas Tahun 2030



KUALA LUMPUR: Loji nuklear di negara ini hanya mula beroperasi selepas tahun 2030 jika persetujuan dicapai dalam melaksanakan program jana kuasa tenaga itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri.

Bagaimanapun, beliau berkata, hingga kini kerajaan masih belum membuat keputusan untuk program pembangunan loji jana kuasa nuklear di negara ini.

Katanya, maklumat awal kajian kemungkinan menunjukkan garis masa dan tempoh pelaksanaan projek loji jana kuasa memerlukan sekurang-kurangnya 11 tahun daripada tarikh kerajaan membuat keputusan untuk memulakan proses pembidaan projek hingga siap pembinaan loji itu.

"Walaupun Program Transformasi Ekonomi (ETP) dinyatakan tarikh disasarkan untuk pembinaan loji jana kuasa nuklear mula beroperasi tahun 2021, namun sasaran ini dianjakkan kerana kerajaan turut mengambil kira perkembangan dan sentimen semasa dalam serta luar negara khususnya kesan tsunami pada Mac 2011 terhadap program jana kuasa nuklear di Fukushima, Jepun.

"Justeru, faktor ini sudah diambil kira dalam kajian kemungkinan dan berdasarkan itu, jika dipersetujui program jana kuasa nuklear di Malaysia hanya boleh beroperasi selepas tahun 2030, tertakluk kepada kelulusan Rang Undang-Undang Kawal Selia Tenaga Atom yang baharu dan komprehensif," katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Noor Ehsanuddin meminta kerajaan menyatakan bilakah pembangunan dua loji nuklear berkapasiti dua gigawats seperti terkandung dalam ETP sebagai sebahagian daripada Model Ekonomi Baharu diumumkan pada 25 Oktober 2010 akan dibina.

Menjawab soalan tambahan Noor Ehsanuddin, Nancy berkata, penggunaan nuklear bukan merujuk kepada penggunaan senjata saja, sebaliknya turut membabitkan tenaga penjanaan elektrik.

Beliau berkata, Malaysia bukan satu-satunya negara di rantau ASEAN yang sedang meneroka kemungkinan melaksanakan program nuklear untuk tenaga.

"Indonesia, Thailand dan Vietnam turut giat mengkaji penggunaan tenaga nuklear untuk penjanaan elektrik, malah Vietnam sudah memeterai perjanjian dengan Russia untuk membina loji jana kuasa nuklear pertama di negara itu," katanya. - BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA