Mahkamah Rayuan Benarkan Rayuan Najib, Rosmah Batalkan Pembelaan Ulasan Saksama Rafizi

PUTRAJAYA, 29 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor hari ini berjaya di dalam rayuan mereka untuk membatalkan pembelaan berdasarkan ulasan saksama Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli dan sebuah portal berita dalam talian mengenai saman fitnah mereka berhubung isu subdisi minyak.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Rohana Yusof sebulat suara membenarkan rayuan Najib dan Rosmah selepas mahkamah bersetuju dengan isu yang dibangkitkan oleh peguam mereka semasa penghujahan semalam.

Mahkamah menetapkan untuk memberikan keputusannya hari ini selepas mendengar penghujahan semalam.

Dua lagi hakim yang menganggotai panel itu ialah Hakim Tan Sri Idrus Harun dan Datuk Mary Lim Thiam Suan.

Najib dan Rosmah menyaman Mohd Rafizi yang juga Anggota Parlimen Pandan, di atas dakwaannya dalam kenyataan berbaur fitnah ke atas mereka dalam sebuah forum mengenai subsidi minyak di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur pada 22 Nov 2014.

Selain daripada Mohd Rafizi, Rosmah dan Najib juga menamakan pemilik portal Media Rakyat, Chan Chee Kong sebagai defendan.

Mereka mendakwa ucapan Mohd Rafizi dirakamkan Media Rakyat dan dimuat naik Chan dalam laman sesawang YouTube Media Rakyat dan portal media rakyat di bawah tajuk 'Rafizi Ramli: Kenapa Kita Pertahankan Subsidi Minyak'.

Najib dan Rosmah juga mendakwa rakaman yang sama turut dikongsi Chan dalam akaun Facebook Media Rakyat yang boleh diakses secara bebas oleh pengguna internet di seluruh dunia.

Mereka menuntut kedua-dua defendan membayar ganti rugi am, tambahan dan teladan yang patut menurut mahkamah, kos dan faedah.

Najib dan isteri memohon untuk membatalkan pembelaan defendan menggunakan ulasan saksama berdasarkan perkataan yang dipertikaikan bukan satu komen berpatutan, sebaliknya ia adalah fakta.

Selepas keputusan disampaikan, peguam Razlan Hadri Zulkifli yang mewakili Mohd Rafizi dan Chan berkata mereka akan mendapatkan arahan daripada anak guam mereka sama ada untuk membawa kes ini ke Mahkamah Persekutuan.

Beliau berkata berikutuan keputusan mahkamah hari ini mengenai rayuan itu, anak guamnya tidak dibenarkan membangkitkan ulasan saksama di dalam perbicaraan saman fitnah sebagai pembelaan mereka. Bagaimanapun beliau berkata pembelaan berdasarkan perlindungan bersyarat dan pembelaan lain tidak terjejas.

Sementara itu, peguam Wan Azmir Wan Majid yang mewakili Najib dan Rosmah memberitahu wartawan bahawa perkara itu akan dibawa untuk pengurusan kes pada 8 Dis ini  -  BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA