Lupa, Tiada Wang Bayar Saman


KUALA LUMPUR: Lupa dan tidak ada wang. Itu dua alasan popular diberikan pesalah trafik tegar ‘kedekut’ yang enggan membayar saman trafik tertunggak.

Anehnya golongan ini akan membayar denda serta merta mencecah RM3,000 sebalik mereka ditahan dan dibawa ke mahkamah oleh pihak polis trafik.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Nazri Hussain berkata, setiap individu perlu bertanggungjawab terhadap kesalahan dilakukan mereka dengan membayar saman tertunggak dikenakan.

“Kalau semua orang ada rasa tanggungjawab membayar saman, ia tidak akan menyusahkan pihak lain.

“Jangan tunggu sampai ditahan ketika operasi, baru nak buat pembayaran. Itu sudah terlambat kerana mereka yang ditahan dihadapkan terus ke mahkamah untuk didakwa,” katanya.

Dalam Operasi Waran Tangkap Trafik (Ops Warta) yang dijalankan JSPT Kuala Lumpur di Jalan Cheras, di sini, pagi semalam, enam individu berusia lingkungan 23 hingga 62 tahun ditahan.

Penahanan turut membabitkan seorang lelaki berusia 48 tahun yang memiliki enam waran tangkap sebelum ini.

“Dalam operasi dijalankan pada jam 7.30 hingga 9.30 pagi semalam, kami turut mengeluarkan 57 saman atas pelbagai kesalahan.

“Operasi itu yang pertama dijalankan minggu ini bagi mengesan pesalah trafik menggunakan alat peranti sistem pembayaran kompaun dalam talian mudah alih (MCOPS) dan alat pengimbas Sistem Pengesanan Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR),” katanya.-myMetro

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA