Lubang Benam Gergasi 'Telan' Jalan Di Jepun


TOKYO: Satu kejadian lubang benam gergasi berlaku di tengah bandar Jepun pada Selasa, 'menelan' sebahagian daripada jalan besar dengan lima lorong.

Lubang besar itu berkeluasan kira-kira 20 meter kali 15 meter, mendedahkan tiang sokongan bangunan berhampiran persimpangan lampu isyarat di Fukuoka.

Dikhuatiri lebih banyak runtuhan akan berlaku.

Rakaman televisyen menunjukkan dua lubang berasingan membesar berikutan mendapan tanah di hadapan stesen kereta api Hakata selepas pukul 5 pagi (waktu tempatan).

"Keadaan gelap di luar, dan sangkaan pertama saya, adakah jalan betul2 runtuh?" kata seorang pemuda yang menyaksikan kejadian lubang benam kepada penyiar NHK.

"Bila saya lihat, dua lubang sudah ada di sana, dan ia terus menjadi lebih besar.

"Yang paling saya takuti adalah sebatang tiang lampu isyarat jatuh di persimpangan jalan di tempat saya berdiri. Saya rasa, saya perlu keluar dari sini," katanya.

Lubang itu terus membesar dan menjelang pagi ia berada pada kedalaman dua tingkat, dan ditakungi air akibat saluran paip pecah.

Polis menutup kawasan berkenaan dan melakukan proses pemindahan di bangunan sekitar.

Menurut polis, tiada kecederaan dilaporkan.

Biro pengangkutan Fukuoka berkata, projek pengembangan yang sedang berjalan di sebuah laluan kereta api bawah tanah berdekatan, mungkin dikaitkan dengan punca lubang benam berlaku.

Fukuoka merupakan bandar terbesar di pulau Kyushu di Jepun. - AFP

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA