Lima Jam Buang Kulit Kena Asid


KUALA LUMPUR: Harapan dua wanita ini untuk pulih akan menjadi nyata selepas melalui puluhan pembedahan yang perlu dilaksanakan secara berperingkat.

Proses pembedahan itu yang menelan belanja besar bergantung kepada dana sumbangan orang ramai berikutan kedua-duanya sudah tidak boleh bekerja.

Mangsa simbahan asid, Nurul Umira Azali, 23, selamat menjalani pembedahan rekonstruktif di bahagian leher dan muka Rabu lalu di Pusat Perubatan Beverly Wilshire, di sini, dengan kos RM13,000.

Sebelum ini, Nurul Umira dan Nurfarziana Hussein Hasnor Harry, 23, kedua-duanya melecur teruk di muka, kepala dan badan selain menderita tidak lena tidur, trauma, tidak boleh terkena cahaya matahari selain kecacatan lain yang berkemungkinan mengambil masa enam tahun untuk pulih selepas terkena simbahan asid oleh orang tidak dikenali, setahun lalu.

Nurul Umira berkata, pembedahan itu perlu dilakukan kerana mulutnya sudah turun ke bawah akibat tarikan kulit.

“Doktor mengambil masa selama lima jam untuk membuang kulit terkena asid dan menampalnya kembali menggunakan kulit di perut.

“Hanya Allah mengetahui kesakitan dirasai, namun saya perlu kuat meneruskan hidup dan menjalani lagi baki pembedahan yang mungkin memakan masa enam tahun untuk pulih sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Menurutnya, pembedahan itu tidak berakhir di situ, mereka perlu menjalani pembedahan lain bahagian demi bahagian yang terjejas teruk.

“Pembedahan plastik membabitkan kos yang besar disebabkan itu kami memerlukan dana daripada orang ramai berikutan tidak boleh bekerja,” katanya.

Sementara itu, Nurfarziana pula memerlukan perbelanjaan RM10,000 untuk merawat parut di wajah buat masa ini.

“Bagaimanapun, selepas berbincang, kami bersetuju untuk Nurul Umira menjalani pembedahan terlebih dulu berikutan keadaannya makin teruk,” katanya.

Katanya, setiap hari mereka berdoa supaya Allah SWT tunjukkan wajah orang yang menganiaya mereka sehingga cacat begitu.

“Setiap hari kami berdoa supaya Allah menunjukkan wajah pelaku berkenaan dan semoga dia menyerah diri kepada polis.

“Kami percaya doa orang teraniaya akan dimakbulkan Allah, bagaimanapun kami reda dengan ujian ini walaupun masa depan kami gelap,” katanya.-myMetro

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA