Lepas Note 7, Samsung Tarik Mesin Basuh Isu Pintu Meletup


WASHINGTON DC: Samsung yang baru-baru ini menarik balik telefon pintar Note 7 di seluruh dunia, kini akan tarik balik pula tiga juta mesin basuhnya dari pasaran Amerika Syarikat (AS).

Ia susulan puluhan laporan kecederaan akibat letupan mesin basuh muatan pintu atas keluaran gergasi elektronik Korea Selatan itu yang direkodkan di seluruh AS sejak awal tahun ini, lapor agensi berita antarabangsa Reuters.

Bahagian penutup mesin basuh itu boleh secara mendadak terkeluar sendiri daripada mesin itu ketika digunakan, dan ia menimbulkan risiko kepada keselamatan nyawa, menurut Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna AS.

Syarikat teknologi tinggi Korea Selatan itu sudah menerima sembilan laporan kecederaan serius, termasuk rahang patah, bahu cedera dan kes kemalangan akibat pengguna terjatuh disebabkan letupan daripada mesin tersebut.



Who is it?
An enemy lurks among those sworn to protect their country
Sign Up

Malah pada masa sama, pihak Samsung sudah menerima sejumlah 733 laporan tentang getaran berlebihan pada pelbagai model mesin basuh keluarannya atau bahagian pintunya terkeluar daripada mesin cuci pakaian tersebut.

Penarikan balik itu melibatkan sebanyak 34 model mesin basuh muatan atas yang dihasilkan Samsung antara Mac 2011 hingga November 2016 dan berharga daripada AS$450 (RM1,895) sehingga AS$1,500 (RM6,317) seunit.

Bahagian pintu pada mesin basuh Samsung didapati terjejas malah boleh terpisah apabila kitaran basuh kelajuan tinggi digunakan untuk mencuci cadar, atau barangan kalis air atau berat, menurut jurucakap syarikat berkenaan.

Selain AS, Samsung sebelum itu turut mengumumkan penarikan balik ratusan ribu unit mesin basuh keluarannya yang pernah dijual di pasaran Australia dan New Zealand serta melibatkan hampir 20 model berbeza.

Firma terkenal tersebut sebenarnya sudah pun disaman oleh sesetengah pelanggan di AS, yang mendakwa mesin basuh mereka pernah secara tiba-tiba didapati meletup meskipun ketika digunakan secara kaedah cucian biasa.

Samsung, pengeluar telefon pintar terbesar di dunia, terdahulu menanggung malu apabila terpaksa menarik balik jutaan telefon canggih Galaxy Note 7 sejak bulan lalu setelah gagal menyelesaikan isu-isu keselamatannya.

Ia malah mengumumkan penarikan semula 2.5 juta unit gajet telekomunikasi itu pada awal September ekoran pelbagai laporan kontroversi tentang telefon bimbit itu terbakar akibat bateri yang menjadi panas tanpa sebab.

Puluhan kes kebakaran Note 7 termasuk dalam pesawat menyebabkan banyak syarikat penerbangan di seluruh dunia melarang penumpang membawa masuk telefon pintar tersebut ke dalam kapal terbang. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA