Lelaki Sarawak Pertama Dicekup Sertai IS


KUALA LUMPUR: Disyaki merancang menyertai kumpulan pengganas Islamic State (IS) di Syria, jurukimpal dari Sarawak berusia 24 tahun antara dua individu yang diberkas Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 30 Oktober lalu.

Seorang lagi suspek merupakan juruteknik kilang berusia 29 tahun dari Johor.

Mereka berdua ditahan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas diusir pihak berkuasa Turki dalam perjalanan memasuki Syria.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dipetik sebagai berkata, kedua-dua individu itu disyaki direkrut oleh Mohamad Wanndy Mohamad Jedi yang turut merancang kemasukan mereka ke Syria.

"Ini termasuk menyalurkan dana untuk membiayai kos penerbangan kedua-dua suspek," katanya.

Menurutnya lagi, untuk mengaburi dan mengelirukan pihak berkuasa, kedua-dua suspek telah menaiki keretapi dari Butterworth pada 23 Oktober menuju Bangkok.

"Dari situ, mereka menaiki pesawat untuk penerbangan Bangkok-Abu Dhabi-Istanbul," ujarnya.

Kedua-dua suspek bagaimanapun ditangkap sejurus mendarat di Istanbul pada 28 Oktober sebelum diusir keluar pada keesokan harinya.

Jelas Khalid lagi, kejayaan ini adalah hasil pertukaran maklumat risikan pihak Cawangan Khas PDRM dan pihak berkuasa Turki.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA