Lelaki Kaki 4 Bakal Dibedah, Berpeluang Hidup Normal


LELAKI dari India yang dilahirkan dengan lebihan sepasang kaki akhirnya akan menjalani pembedahan membuang lebihan kakinya selepas ‘rayuannya’ di laman sosial ‘didengari’ doktor.

Arun Kumar; 22, dari Uttar Pradesh mempunyai dua lebihan kaki yang tumbuh di bahagian belakang badannya.

Satu daripadanya tidak membesar dan yang satu lagi berbentuk membengkok ke arah kaki kirinya.

Selama ini Arun tidak pernah mendapatkan rawatan susulan ‘keistimewaan’ yang dimilikinya itu.

Namun, baru-baru ini sahaja Arun terbuka hati untuk mengubah nasibnya dengan meminta bantuan menerusi atas talian.

Sepasukan pakar dari Hospital Fortis di New Delhi telah memberi maklum balas berhubung perkara itu dan akan mengadakan beberapa siri ujian bagi mengetahui sama ada penyakit Arun ini boleh dirawat atau tidak.

“Jika saya menjalani pembedahan dan doktor buang dua lebihan kaki ini, mungkin lepas ini saya mampu jalani hidup seperti orang lain, boleh berjalan dan berlari seperti mereka semua.

“Jika penyakit saya dapat dirawat, saya bersedia untuk jalani pembedahan,” kata Arun.

Menurut Arun, ketika dia dilahirkan ibu bapanya cuba merawat penyakitnya selama lima tahun namun tiada doktor yang mahu melakukan pembedahan terhadapnya pada ketika itu.

Berputus asa, akhirnya mereka redha dan meneruskan kehidupan seperti biasa dan menerima nasib anak lelaki mereka mungkin tidak dapat dipulihkan. – MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA