Lelaki Ditahan Kerana Miliki Syabu, Ketamine


KUCHING: Seorang lelaki ditahan untuk siasatan lanjut kerana didapati memiliki dadah jenis syabu dan Ketamine dalam satu serbuan di Jalan Haji Taha di sini, kelmarin.

Menurut sumber, suspek berusia 22 tahun dan berasal dari Taman Cenderawasih itu ditahan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang diketuai ASP Ooi Jin Bing sekitar jam 4 petang.

Difahamkan, serbuan di hadapan sebuah bengkel motosikal itu terdahulunya memeriksa empat individu sebelum berjaya menemui kedua-dua jenis dadah tersebut yang disembunyikan suspek di dalam sebuah beg.

“Hasil pemeriksaan terhadap beg pinggang yang dipegang suspek telah dijumpai satu peket plastik mengandungi ketulan kristal disyaki syabu dianggarkan seberat 4.01 gram dan tiga peket plasti mengandungi serbuk disyaki Ketamine dianggarkan seberat 1.44 gram,” kata sumber.

Suspek kemudian ditahan dibawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Polis Daerah ACP Abang Ahmad Abang Julai mengesahkan perkara tersebut.

“Ujian air kencing juga telah dijalankan ke atas suspek dan didapati positif dadah jenis Amphetamine,” katanya ketika dihubungi semalam.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA