Lelaki 250kg Sasar Turun Berat Badan


SIBU: Kini beransur pulih, lelaki yang mempunyai berat badan kira-kira 250 kilogram, Sia Chi Herng menaruh satu lagi impian iaitu menurunkan 100 kilogram beratnya selepas mendapat rawatan di Hospital Sibu sejak 21 September lalu.

Sejak dikejar ke hospital menggunakan bantuan lori, Chi Herng, 33, mengharungi detik membimbangkan ketika berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) hampir sebulan sebelum dipindahkan ke wad lelaki untuk mendapatkan rawatan fisioterapi untuk membantunya mengurangkan berat badan.

“Saya telah dipindahkan dari ICU ke wad ini pada 18 Oktober lalu,” jawab Chi Herng selamba namun raut wajahnya lebih bersemangat dan ceria ketika dikunjungi di bilik kelas kedua pagi semalam berbanding sebelum ini hanya mampu berbaring malah kadangkala terpaksa bernafas dengan alat sokongan ICU.

Ia merupakan satu pemulihan amat memberangsangkan bagi pesakit yang sebelum ini dibawa menaiki lori dan diangkat menggunakan selimut tebal dengan bantuan tenaga 20 orang untuk ke Hospital Sibu.

“Saya lebih selesa sekarang dan dapat merasai berat badan semakin susut. Malah pihak hospital terutama doktor dan jururawat di sini amat prihatin merawat, memantau keadaan kesihatan saya setiap hari,” katanya yang menerima rawatan fisioterapi dua kali sehari (pagi dan petang).

Katanya, berat badannya telah menurun sejak hari pertama mendapat rawatan di Hospital Sibu.

“Kalau dahulu, gelang nama pesakit tidak muat tetapi kini ia sudah agak longgar dipakai di tangan kanan,” katanya.

Sambil melakukan sedikit senaman ringan pada kakinya, Chi Herng kini mampu makan dua kali sehari.

Meskipun bilik pesakit kelas kedua dilengkapi tandas berasingan, Chi Herng menahan diri daripada menggunanya kerana kaki kirinya masih lemah di bahagian lutut.

“Saya dinasihat untuk melakukan senaman ringan seperti duduk tanpa bantuan, berdiri seberapa lama mampu tetapi tidak lama (30 saat hingga 1 minit) kerana kaki kiri masih lemah iaitu 85 peratus daripada berat badan disokong oleh kaki kanan jika saya berdiri,” ujarnya.

Menurutnya, keputusan pemeriksaan perubatan menunjukkan bahawa tahap kolesterolnya tidak membimbangkan (tidak tinggi) dan begitu juga kandungan gula.

Selain mendapat rawatan yang diperlukan, ibunya, Kho Kee Sieng, 63, juga memain peranan penting dalam proses pemulihan Chi Herng kerana dia sering mendampinginya untuk memberi sokongan moral malah sanggup bermalam bersamanya sejak dipindahkan dari wad ICU.

“Saya amat menghargai segala sokongan semua doktor, jururawat dan kakitangan hospital yang menjaga saya selama 24 jam sejak mula berada di sini.

“Hospital Sibu terbaik malah pengarah di sini pernah berkata saya akan dibenar pulang apabila saya berasa pulih sepenuhnya,” katanya sambil memuji kelengkapan di Hospital Sibu bertaraf tinggi.

Ditanya sama ada dia ingin pulang ke rumah, Chi Herng berkata dia ingin menjadi seperti orang biasa dan menguruskan badan sebagai keutamaan sebelum berhajat pulang ke rumah.

Katanya, semua itu bergantung kepada perkembangan pemulihan kaki kiri semasa menjalani rawatan fisio.

“Saya harap dapat mengurangkan berat badan sekurang-kurangnya susut 100 kg sebagai satu cabaran peribadi,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Unit Wanita Parti Rakyat Bersatu (UPP Dudong) Kapitan Connie Loh tampil menyampaikan sumbangan derma sebanyak RM500 kepada Chi Herng pagi semalam.

“Diharap sumbangan ini dapat meringankan beban untuk menyelesai sebahagian daripada bayaran kos hospital kelak,” kata Loh.

Selain itu, Loh berkata beliau akan berusaha membantu ibu Chi Herng yang merupakan ibu tunggal untuk memohon bantuan kerajaan daripada Jabatan Kebajikan di sini.

Beliau juga berharap lebih ramai warga prihatin yang bermurah hati mengikuti jejak langkah mereka menyalurkan bantuan kepada Chi Herng, lebih-lebih lagi sebagai pembakar semangat untuk mencapai impiannya.

Sejak kebelakangan ini, abang Chi Herng, 36, yang bekerja sebagai juruletrik banyak menghulurkan nafkah hidup mereka sekeluarga.

“Saya ingin kelihatan lebih kurus apabila saya keluar dari hospital kelak,” katanya mengakhiri perbualan dengan penuh bersemangat untuk mencapai impiannya mengurangkan berat badan.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA