Lebih RM8 Juta Diperlukan Untuk Bina Semula Bangunan St Teresa


KUCHING: Kebakaran yang berlaku di SMK St Teresa pada 29 Oktober lalu telah memusnahkan dewan sekolah termasuk bilik guru, bilik kaunseling, bilik kemahiran hidup dan bilik buku teks yang terletak di tingkat bawah bangunan tersebut.

Menteri Kebajikan Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah berkata, sumbangan berjumlah satu juta daripada kerajaan negeri amat dihargai oleh semua pihak.

“Sumbangan tersebut membolehkan pihak sekolah membersihkan kawasan kebakaran bagi mewujudkan persekitaran yang selamat untuk pelajar, guru-guru dan staf sokongan sekolah,”. 

“Sebahagian besar daripada wang sumbangan tersebut akan digunakan untuk membina bangunan baru yang akan dibina menggunakan sistem IBS dan menelan belanja sebanyak RM614,000.

“Pembinaan bangunan tersebut dijangka akan bermula pada bulan Mac 2017 bakal menempatkan bilik guru, bilik kaunseling, bilik Kemahiran Hidup dan bilik buku teks,” katanya ketika berucap pada sidang akhbar di sini, hari ini.

“Jumlah keseluruhan yang diperlukan termasuk pembinaan bangunan kekal empat tingkat lengkap dengan segala kemudahan pembelajaran ialah RM8.214 juta,” tegasnya.

Ujarnya, pembinaan bangunan kekal empat tingkat akan membantu menyelesaikan masalah kekurangan bilik darjah yang telah memaksa pihak sekolah menggunakan kaedah ‘kelas terapung’ bagi meneruskan sesi persekolahan sedia ada.

SMK St Teresa dibina di atas tapak seluas 2.2 hektar. 35 buah bilik darjah diperlukan untuk pembelajaran dan pengajaran. Buat masa ini, pihak sekolah hanya mempunyai 15 buah kelas.

Susulan kes kebakaran dan kekurangan kelas yang bertambah buruk akibat kebakaran tempoh hari, pengambilan pelajar tahun 2017 terpaksa dikurangkan dan ibu bapa pelajar dinasihatkan agar memahami kekangan yang sedang dihadapi oleh pihak sekolah.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Ahli Lembaga SMK St Teresa, wakil ‘Old Teresa Association’, guru-guru kanan SMK St Teresa serta wakil daripada Kementerian Pendidikan Negeri. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA