Lebih 200 Premis Diperiksa, Tiada Minyak Masak Kitar Semula



KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan telah menjalankan pemeriksaan terhadap 214 premis pembungkus minyak masak sejak tahun lepas dan mendapati tiada bukti premis tersebut memproses atau membungkus minyak masak kitar semula.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata hasil pemeriksaan ke atas 33,352 premis makanan juga mendapati kesemua premis tersebut tidak menggunakan minyak masak kitar semula.

"Di samping itu, hasil analisa terhadap 115 sampel minyak masak dalam paket yang terdiri daripada 88 jenama di pasaran mendapati ia tidak diadukkan dengan minyak masak kitar semula," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata kementerian akan meneruskan pemantauan terhadap minyak masak dalam paket di pasaran.

"Kementerian ingin menegaskan bahawa pengimportan, pengilangan dan penjualan minyak masak kitar semula adalah tidak dibenarkan di bawah Akta Makanan 1983," katanya.

Katanya sesiapa didapati mengimport, mengilang dan menjual minyak masak kitar semula yang boleh memudaratkan kesihatan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 13 Akta Makanan 1983.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan. -- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA