Lebih 100 kes insiden kemalangan, 87 kematian di tapak pembinaan: Fadillah

KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) merekodkan sebanyak 117 kes insiden kemalangan di tapak pembinaan membabitkan 87 kematian antara 2012 hingga sekarang.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sebanyak 88 kes insiden kemalangan berlaku di tapak projek swasta, manakala 29 kes berlaku di tapak projek kerajaan.

“Kes kematian yang dicatatkan pula adalah 87 orang dengan 62 daripada mereka adalah pekerja asing, manakala 25 orang melibatkan pekerja tempatan atau orang awam.

“Manakala bilangan kes kecedaran pula adalah 93 orang melibatkan 73 pekerja asing dan 20 pekerja tempatan,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-Tanjong Piai) yang ingin tahu statistik aduan diterima CIDB tentang isu keselamatan daripada industri pembinaan di persidangan Dewan Rakyat semalam.

Fadillah berkata CIDB juga telah mengambil tindakan terhadap kes-kes ketidakpatuhan mengikut pindaan Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520) yang mula berkuat kuasa pada 1 Jun tahun lepas.

Katanya, kes-kes itu melibatkan 24 kes pendaftaran kontraktor, 71 kes pendaftaran pekerja (kad hijau), tiga kes kegagalan pembayaran levi dan 39 kes bagi lain-lain kecuaian.

“Manakala bilangan kes kecuaian yang telah dibawa ke mahkamah untuk tempoh yang sama ialah sebanyak 13 kes,” katanya.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan di tapak-tapak projek dilaksanakan melalui kaedah antaranya pemeriksaan rutin tapak bina, operasi penguatkuasaan bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain yang berkaitan dan operasi penguatkuasaan bersepadu khas. — Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA