Laporan Punca Kebakaran HSA Diserah Kepada Kementerian Kesihatan


ISKANDAR PUTERI: Laporan tentang punca kebakaran wad di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada 25 Oktober lalu telah diserahkan kepada Kementerian Kesihatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri telah menyiapkan laporan eksekutif tentang kejadian itu pada 13 November lalu dan menyerahkannya untuk tindakan akhir oleh pihak Jawatankuasa Siasatan Bebas Teknikal di kementerian berkenan.

"Laporan itu perlulah dibentangkan kepada Mesyuarat Kabinet dahulu sebelum satu pengumuman khas yang akan dibuat oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) atau Menteri Kesihatan (Datuk Seri Dr. S. Subramaniam) berkaitan perkara ini," katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab enam soalan mengenai punca kebakaran di HSA yang mengorbankan seramai enam pesakit.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, enam pesakit maut apabila wad ICU di tingkat dua bangunan lima tingkat HSA terbakar, manakala seorang lagi pesakit berjaya diselamatkan.

Tiga kakitangan hospital itu turut cedera dalam kebakaran itu.- Utusan Online

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA