Laporan Polis Terus Dibuat Terhadap Pengendali FB "Sarawak Keluar Malaysia 2021"



KUCHING : Laporan keempat belas dibuat terhadap pengendali laman Facebook 'Sarawak Keluar Malaysia 2021' yang membuat kenyataan palsu kononnya Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mengugut Sarawak keluar dari Malaysia.

Terbaru, Pergerakan Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Maong sebentar tadi.

Ketua Penerangan Pemuda PRS, Andy Lawrence berkata, laporan polis dibuat kerana laman facebook tersebut memuat 'posting' bercanggah dengan kenyataan Adenan.

"Kami Pemuda PRS membuat laporan kerana laman Facebook tersebut mempunyai tujuan yang tidak baik.

"Seperti apa yang difahamkan laman facebook tersebut cuba menghasut dan mengelirukan rakyat Sarawak," katanya kepada Sarawakiana.

Menurut beliau, Pemuda PRS prihatin terhadap isu terbabit dan menjadi tanggungjawab pihaknya untuk mempertahankan Ketua Menteri daripada fitnah serta hasutan yang melampau.

"Laporan ini juga dibuat sebab Pemuda PRS ingin menjaga nama baik Ketua Menteri yang banyak membantu rakyat.

"Ketua Menteri telah banyak memberi bakti kepada rakyat Sarawak, rancangan pembangunan luar bandar dan polisi yang baik" ujarnya.

Andy turut ditemani Exco Pemuda PRS Andy Suot dan Ahli Biasa Mathew Kumbang membuat laporan tersebut.

Sementara itu, seorang suspek dipercayai pengendali laman Facebook 'Sarawak Keluar Malaysia 2021' ditahan polis hari ini.

Suspek dikenali sebagai Beng Kor ditahan di Sibu ekoran laporan polis mengenai laman Facebook berkenaan yang mengeluarkan kenyataan hasutan kerana sengaja melagakan kepimpinan negeri dan kerajaan pusat.-Sarawakiana





No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA