Lambakan Gelaran ‘Doktor’, ‘Datuk’ Palsu Cemar Maruah Negara


KUALA LUMPUR: Lambakan anugerah, gelaran dan darjah kebesaran tidak diiktiraf yang berlaku ketika ini sangat mencemar maruah dan integriti negara. Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berkata individu yang menggunakan anugerah tidak diiktiraf itu, seharusnya malu dengan diri sendiri kerana telah menipu dan memperdaya masyarakat.

“Bayangkan, sampai ada poster. Mereka ini seolah-olah bangga apabila dipuja walaupun menggunakan gelaran ‘Datuk’, ‘Datuk Seri’, ‘Tan Sri’ yang palsu. Ini satu pencemaran yang terlalu dahsyat sebab tidak segan silu menggunakan gelaran yang tidak wujud.

“Saya tidak tahu jenis apa manusia ini. Tidak ada gelaran apa-apa tapi bangga menggunakan gelaran yang palsu,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Anugerah 2016 di Dewan Rakyat semalam.

Senada dengannya, Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR-Bukit Katil) menyifatkan pihak yang sanggup membeli gelaran palsu dan bangga menggunakannya adalah bagi kepentingan tertentu.

“Selain ‘Datuk’ palsu, ada juga ‘Doktor’ palsu. Seolah-olah mereka ini ingin tunjuk pandai, kedudukan tinggi dalam masyarakat sehingga menggunakannya untukmendapatkan projek dan menjadi broker,” katanya.

Haipa Maidin (AMANAH-Sepang) pula meminta rang undang-undang ini turut memperuntuk hukuman kepada si pemberi dan bukan hanya penerima semata-matauntuk menunjukkan keseriusan kerajaan menangani isu itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said ketika menggulung perbahasan itu berkata pelaksanaan sebarang tindakan yang menyalahi peruntukan undang-undang akan dikuatkuasakan Polis Diraja Malaysia.

Mengulas lanjut mengenai isu penyamaran atau penggunaan gelaran palsu, beliau berkata itu masih termaktub di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau boleh dikenakan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

RUU Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Anugerah 2016 itu antara lain memperuntuk hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun kepada mana-mana individu yang meminta, menerima atau bersetuju menawarkan individu lain pemberian anugerah yang tidak diiktiraf.

Selain itu, individu yang menerima dan menggunakan anugerah, gelaran dan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf bakal berdepan hukuman penjara tiga tahun.

Menurut RUU itu juga, seseorang dilarang daripada menerima suatu anugerah tidak diiktiraf sama ada di dalam atau di luar negara dan menggunakannya dalam apa-apa bentuk dan cara sekalipun.

RUU itu sebelum ini dicadangkan disebabkan penganugerahan gelaran dan kebesaran yang semakin menjadi-jadi yang dibuat oleh orang yang tidak mempunyai kuasa dari segi Perlembagaan dan penganugerahan gelaran dan darjah kebesaran selain daripada ketua negara dan ketua kerajaan negeri.

Kerajaan telah memutuskan untuk mengekang aktiviti tersebut sebagai tanda pengiktirafan keistimewaan berdaulat Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja atau Yang Dipertuan Negeri. — Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA