Lagi Hubungan Sulit Lin Dan Terbongkar



SELEPAS kisah hubungan sulitnya dengan pelakon dan model Zhao Yaqi terbongkar, kali ini Lin Dan sekali lagi berhadapan isu yang sama apabila kisah kecurangannya dengan seorang pelajar pula tersebar, baru-baru ini.

Memetik laporan Sin Chew Daily, Lin Dan turut didakwa mempunyai hubungan sulit dengan seorang pemain badminton di sebuah universiti di Beijing.

Namun begitu, wanita yang dikenal pasti sebagai Li Zhi dipercayai telah memadam banyak gambar dan tulisannya di laman sosial Weibo termasuk gambar bersama jaguh dunia itu.

Nama Lin Dan menjadi hangat baru-baru ini apabila sebuah video dan beberapa keping gambar memaparkan aksi mesranya dengan Zhao Yaqi tersebar.

Jaguh perseorangan dunia yang diberi jolokan ‘Super Dan’ itu kemudiannya mengakui kisah perselingkuhannya itu selepas beberapa jam hubungan sulitnya itu didedahkan media tempatan.

Lin Dan dan isteri yang juga bekas pemain perseorangan, Xie Xingfang baharu sahaja menimang cahaya mata lelaki pada 5 November lalu. – MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA