Kucing Disembelih Untuk Mendapatkan Daging Arnab


CHENGDU: Serbuan di rumah penyembelihan kucing yang dagingnya dijual sebagai daging arnab telah menemui hampir satu tan bangkai kucing segar dan sejuk beku, menurut laporan Global Times, Selasa.

Penemuan pada Selasa lalu ini berlaku apabila polis menyerbu tiga lokasi berasingan yang digunakan sebagai ruang simpanan, rumah sejuk beku daging dan rumah penyembelihan kucing, lapor Chengdu Business Daily.

Ketika serbuan dilakukan ke atas rumah penyembelihan di bandar Shunjiang, beberapa kucing tempatan ditemui terapung di dalam air selepas haiwan itu dibiarkan lemas, dengan yang lain sedang menunggu proses pembuangan bulu atau untuk disembelih, menurut laporan itu.

Daily Mail London berkata, pihak berkuasa Chengdu menutup operasinya Rabu lalu selepas menerima maklumat daripada sukarelawan di Pusat Penyelamatan Haiwan Aizhijia Chengdu.

Pengasasnya, Chen menulis di akaun Weibo beliau bahawa ia adalah 'hari yang tidak dapat dilupakan dan hari untuk perasaan sakit dan benci' menurut Daily Mail.

"Ini bukan perbuatan salah di sisi undang-undang. Apa salahnya saya membeli dan menjual kucing?," kata pengendali pusat penyembelihan, Huang Pingfu.

Beliau ditanya sama ada kucing-kucing itu telah dijual sebagai daging arnab, menurut Global Times.

Pingfu didakwa sebagai seorang yang sayangkan binatang dan memberi perlindungan kepada kucing terbiar, menurut laporan Daily Mail.

Dia akan membunuh lebih daripada 100 ekor kucing sehari untuk menjual dagingnya kepada pemborong, penjual daging dan restoran-restoran sebagai daging arnab.

Keuntungan hariannya adalah sekitar 3,000 yuan (RM1,941).

Global Times melaporkan bahawa dia telah menjual daging kucing selama lebih dari 20 tahun, menjadikan perniagaan secara kecil-kecilannya beralih kepada perniagaan yang menguntungkan.

Akhbar itu berkata, beratus-ratus ekor kucing lain dibiarkan hidup untuk dihantar ke Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang China Selatan pada harga borong 32 yuan bagi setiap ekor kucing.

Kucing hidup yang diselamatkan dari rumah penyembelihan dilaporkan telah dihantar ke pusat perlindungan haiwan.

China tidak mempunyai undang-undang yang menghalang penjualan daging kucing.

Seorang pekerja Program Kebajikan Kucing dan Anjing di bawah Yayasan Haiwan Asia, Chen Minjie memberitahu Global Times bahawa pihak berkuasa perlu mengurangkan bilangan kucing melalui pensterilan untuk mengelakkan penyeludupan kucing jalanan. - The Straits Times/Asia News Network

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA