Kuching Bakal Alami Air Pasang Besar Tertinggi Di Malaysia

Gambar Hiasan
KUCHING: Air pasang besar di Stesen Pulau Lakei, Kuching dijangka mencapai ketinggian 5.03 meter bermula hari ini hingga Rabu depan.

Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) Agensi Pengurusan Bencana Negara turut mengeluarkan amaran kuning kerana air pasang besar dijangka melepasi paras maksimum.

Stesen lain pula mencatatkan ketinggian 3.8 meter di Stesen Kukup, Johor, 3.37 meter (Stesen Johor Bharu), 3.51 meter (Stesen Tawau) dan 3.14 meter (Stesen Pulau Langkawi).

Amaran kuning turut dikeluarkan di Stesen Tanjung Gelang, Pahang dengan ketinggian 3.17 meter, Stesen Sandakan, Sabah (2.53 meter), Stesen Pelabuhan Kalang (2.53 meter) dan Stesen Geting, Kelantan (1.44 meter).

Memetik laporan sarawakvoice.com, Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata, pada waktu yang agak berbahaya sekarang, orang ramai dinasihatkan mengelak aktiviti-aktiviti seperti memancing atau beriadah di tempat yang dinyatakan berbahaya terutama dalam fenomena air pasang besar.

"Ini adalah kerana sekiranya berlaku hujan yang lebat diikuti oleh angin yang kencang, ia akan membahayakan orang ramai.

"Air sungai akan melimpah ke laut lebih cepat dan kadang-kadang lebih tinggi daripada aras laut, seterusnya mengakibatkan keadaan laut lebih bergelora.

"Bagi mereka yang perlu turun ke laut, utamakan keselamatan di laut dan pakai jaket keselamatan yang mungkin boleh menyelamatkan nyawa," katanya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA