KPM Lapor Polis Viral Palsukan Muka Depan Harian Metro



KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini, membuat laporan polis berhubung pemalsuan laporan muka depan akhbar Harian Metro kes pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tun Dr Ismail yang dihukum duduk atas jalan.

Laporan dibuat seorang kakitangan KPM yang mewakili kementerian itu, di Ibu Pejabat Polis (IPD) Putrajaya pada jam 5.16 petang. Salinan laporan terbabit turut dimuat naik KPM di akaun Twitter @KemPendidikan.

Kakitangan itu dalam laporannya menyebut, viral bertajuk 'SMK TTDI disaman RM20 juta - Punggungku Lenguh Ibu!', diterima semalam daripada satu kumpulan WhatsApp.

Bagaimanapun, menurutnya hasil penelitian terhadap laporan dan gambar muka hadapan itu mendapati, ia dipalsukan oleh pihak tidak bertanggungjawab selain tarikh penerbitan akhbar pada 24 Ogos 2022.

Sehubungan itu, KPM mahu siasatan dilakukan pihak polis bagi mengesan individu bertanggungjawab memalsu dan menyebarkan laporan akhbar berkenaan yang didakwa berniat memfitnah dengan mengaitkan nama KPM, sedangkan KPM tidak pernah mengeluarkan kenyataan seumpamanya.

Katanya, laporan dibuat sebagai pengajaran kepada semua pihak supaya tidak melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab.

Harian Metro menerusi laman portalnya pada 8 November lalu menyiarkan laporan mengenai sekumpulan pelajar SMK TTDI duduk atas jalan dalam kawasan sekolah, sebagai hukuman kerana didakwa datang lewat.

Pihak tidak bertanggungjawab kemudian dikatakan mempersendakan isu itu dengan mengubahsuai muka hadapan akhbar berkenaan dan menyebarkannya di media sosial sehingga menjadi viral.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan ketika dihubungi BH mengesahkan menerima laporan oleh KPM.

Beliau berkata, kes itu akan dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA