KPDNKK Cari Mekanisme Kekang Pengusaha Makanan Tidak Salah Guna Minyak Masak Bersubsidi


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mencari mekanisme bersesuaian berhubung penjualan minyak masak paket bagi memastikan pengusaha makanan tidak membeli bahan bersubsidi itu untuk tujuan perniagaan mereka.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Jamil Salleh berkata ini kerana kebanyakan peniaga yang membeli minyak paket bersubsidi pada masa yang sama turut menaikkan harga makanan atas alasan harga barang meningkat.

"Minyak paket khusus untuk rakyat umum. Subsidi hanya untuk minyak masak paket satu kilogram dan saya sahkan ia bukan minyak kitar semula.

Perkara itu (mekanisme) memerlukan penelitian yang terperinci memandangkan jumlah pemantau harga dan penguatkuasa KPDNKK di seluruh negara hanyalah lebih kurang 4,000, dan sudah pasti tidak dapat memantau penjualan minyak masak sepanjang masa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pemantauan di beberapa pasar raya sekitar Jitra, hari ini.

Sebanyak 45,000 tan metrik minyak bersubsidi dihasilkan setiap bulan, dan ia cukup untuk menampung kegunaan 30 juta rakyat Malaysia, katanya.

--BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA