Kotak Antibanjir


Kuala Lumpur : Pengalaman menghadapi banjir setinggi dua meter pada 2014 menjadi inspirasi kepada empat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai, Kemaman Terengganu mencipta kotak simpanan antibanjir.

Lukmannul Hakim Muhammad, 16, yang mengetuai kumpulan itu berkata, kotak yang diberi nama Kassaskap itu berupaya menyimpan kuantiti barang sehingga 145 kilogram (kg).

“Kassaskap bermaksud keselamatan dalam bahasa Sweden dan idea untuk menghasilkan alat itu timbul kerana banjir selalu melanda kawasan kami khususnya pada hujung tahun.

“Alat itu sangat berguna untuk menyimpan barang berharga daripada ditenggelami air bagi penduduk yang terjejas selain menjadi kelengkapan menyelamatkan diri dan keluarga jika berlaku banjir,” katanya ketika ditemui pada Pertandingan Petronas All About Youth (AAY) All Star 2016 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, semalam.

Katanya, alat seberat 10kg itu diperbuat daripada barang kitar semula seperti pelampung kapsul, tong simpanan dan aluminium yang boleh ditemui di sekitar rumah mereka.

Penghasilan Kassaskap itu turut dibantu tiga rakannya yang juga pelajar tingkatan empat SMK Chukai iaitu Iman Nur’Aina Nor Zuhan, Nurin Darwisyah Mohd Faizal dan Mohd Arsyad Mohd Sabri.

Dalam pertandingan itu, lima sekolah dipilih untuk bertanding di peringkat akhir iaitu SMK Bongkol dan SMK Penangah dari Sabah, SMK Tatau, Sarawak dan SMK Padang Pulut, Terengganu.

Program Petronas AAY adalah inisiatif Petronas yang bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar menerusi aktiviti reka cipta khas untuk membina tahap kepemimpinan dan galakan kepada pelajar menjadi belia cemerlang pada masa depan sekali gus menyumbang ke arah pembangunan negara.

Lukmannul berkata, dia berharap alat berkenaan dapat dikomersialkan memandangkan ia dapat memudahkan penduduk terjejas banjir. - HMetro

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA